Nov 6, 2016

JUALAN AKHIR TAHUN 1MALAYSIA 2016 KINI KEMBALI! Rebutlah tawaran hebat akhir tahun ini!

MELAKA, 6 November 2016 - Acara beli-belah tahunan Malaysia pada hujung tahun iaitu Jualan Akhir Tahun 1Malaysia kini kembali lagi dengan pelbagai tawaran istimewa dan program yang menyeronokkan oleh para peruncit dan pusat-pusat beli-belah di seluruh negara.

Jualan ekstravaganza yang berlangsung selama dua bulan bermula 1 November hingga 31 Disember ini, telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia YB Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Freeport A'Famosa Outlet, Alor Gajah, di sini, hari ini.

Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Exco Pelancongan dan Wakil Kerajaan Negeri Melaka, para penggiat industri pelancongan, para peruncit dan 32 pengamal media antarabangsa yang dibawa oleh Tourism Malaysia di bawah Program Mega Famnya. Para pengamal media ini didatangkan dari Brunei Darussalam, China, Hong Kong, India, Indonesia, Republik Mauritius, Singapura dan Thailand untuk membuat liputan majlis pelancaran tersebut dan membantu mempromosikan tarikan-tarikan pelancongan Malaysia yang begitu banyak, terutamanya aktiviti membeli-belah.

“Experiential Shopping”

Bagi merangsang sektor beli-belah negara, Tourism Malaysia telah mengorak langkah dengan mempromosikan pakej Experiential Shopping yang membolehkan para pembeli melakukan aktiviti membeli-belah sambil menikmati makanan yang lazat, berhibur atau bersantai, dan melawat tempat-tempat menarik yang berhampiran dengan pusat-pusat beli-belah atau hab-hab peruncitan yang dikunjungi.

Jualan Akhir Tahun 1Malaysia merupakan waktu kemuncak bagi para pembeli untuk menikmati sepenuhnya Experiential Shopping kerana kebanyakan pusat beli-belah utama dan premis-premis runcit menawarkan diskaun hebat, tawar-menawar dan ganjaran-ganjaran yang sukar ditolak. Selain membeli-belah, terdapat juga pelbagai aktiviti hiburan menarik yang menjanjikan keseronokan dan pengalaman hebat untuk dinikmati oleh para pembeli seisi keluarga.

Freeport A'Famosa Outlet ialah antara peruncit yang menyajikan tawaran hebat sempena perayaan Krismas sepanjang kempen jualan ini. Bagi mereka yang meminati seni kraftangan yang unik dan bermutu pula, Kraftangan Malaysia akan mempamerkan pelbagai hasil kraf yang indah dan produk tekstil yang memukau dari pelbagai negara di Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan diadakan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur dari 24 hingga 27 November.

“A Journey Through Time” ialah acara tahunan eksklusif yang mempamerkan koleksi jam tangan mewah dan barangan kemas berjenama dan merupakan salah satu acara kemuncak bagi Jualan Akhir Tahun 1Malaysia. Tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 acara hebat ini yang berlangsung dari 4 hingga 13 November di Starhill Gallery.

Ketiga-tiga karnival jualan tahunan di Malaysia ini telah membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Pada tahun 2015, beli-belah telah mencatatkan perbelanjaan pelancong tertinggi dan buat pertama kalinya telah mengatasi penginapan dengan syer sebanyak 31.3% daripada jumlah keseluruhan pendapatan pelancong negara.

PUSAT BELI-BELAH TERBAHARU

Landskap sektor peruncitan tempatan akan bertambah rancak dengan pembukaan beberapa buah pusat beli-belah dan hab gaya hidup terbaharu yang pastinya akan menambah keseronokan para pembeli. Selain Freeport A'Famosa Outlet (dibuka pada Januari 2016), pusat-pusat beli-belah baharu yang lain termasuklah da:men Mall, Isetan Mitsukoshi dan Pavilion Elite (kesemuanya di Lembah Kelang), dan Design Village Outlet di Pulau Pinang. Pusat premium outlet terbaharu iaitu Genting Premium Outlets akan dibuka di Genting Highlands, Pahang dalam masa terdekat.

FAKTA RINGKAS

  1. Malaysia mempunyai tiga kempen jualan tahunan iaitu Jualan Super 1Malaysia (Mac), Karnival Jualan Mega 1Malaysia (Jun-Ogos) dan Jualan Akhir Tahun 1Malaysia. Kempen-kempen ini dianjurkan oleh Tourism Malaysia melalui cabang promosi sektor beli-belahnya iaitu Sekretariat Shopping Malaysia.
  2. Beli-belah merupakan salah satu sektor yang paling menguntungkan dalam industri pelancongan Malaysia. Sektor ini telah dimasukkan di bawah Bidang Ekonomi Negara (NKEA) dengan 12 Projek Permulaan (EPPs). Tiga daripada EPP tersebut adalah berkaitan sektor beli-belah iaitu:
  • EEP1: Meletakkan Malaysia sebagai sebuah destinasi beli-belah bebas cukai.
  • EPP2: Memperuntukan kawasan beli-belah yang rancak seperti Bandar Utama, Bandar Sunway,Subang Jaya, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Georgetown, Johor Bahru, Sabah dan Sarawak yang telah dikenal pasti sebagai zon beli-belah baru.
  • EPP3: Menyediakan asas untuk pusat-pusat premium outlet di Malaysia seperti Johor Premium Outlet, Mitsui Premium Outlet KLIA Sepang, FreePort A Famosa Outlet, dan Genting Premium Outlet.
  1. Pada tahun 2015, sektor beli-belah telah berjaya mengatasi sektor penginapan buat pertama kalinya sekali gus menjadi penyumbang terbesar kepada perbelanjaan pelancong Malaysia. Sektor ini telah menyumbang sebanyak RM21.6 bilion atau 31.3% daripada jumlah keseluruhan pendapatan pelancong negara yang berjumlah RM69.1 bilion.
  1. Sektor beli-belah Malaysia juga telah memperoleh pelbagai pengiktirafan antarabangsa. Antara pengiktirafan yang terbaharu ialah:
  • Kuala Lumpur – Destinasi Beli-belah Ke-5 Terbaik Dunia 2016 – oleh Expedia UK
  • Kuala Lumpur – Bandar raya Beli-belah Ke-2 Popular Dunia – berdasarkan Muslim Travel Shopping Index 2015

-TAMAT-

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2015, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.7 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancong sebanyak RM69.1 bilion.

Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka.

Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.

Hubungi:

Unit Perhubungan Media:

Mohd Libra Lee Haniff, Timbalan Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8752
Emel: mohdlibra@tourism.gov.my

Unit Editorial:

Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8759
Emel: anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use