Apr 25, 2013

"HM MOUNTAIN BIKE GRAND PRIX 2013" ~ CC1M TAMBAH KEMERIAHAN AKTIVITI BERBASIKAL DI MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 24 APRIL 2013: Tourism Malaysia telah bekerjasama dengan Harian Metro untuk menganjurkan program “Mountain Bike Grand Prix 2013” ~ CC1M bagi merancakkan aktiviti berbasikal di Malaysia sekaligus meningkatkan promosi pelancongan berbasikal di Malaysia.
 
Objektif program ini bukan sahaja untuk membentuk ‘trend’ sukan “mountain bike” di kalangan rakyat Malaysia tetapi juga mempromosikan sukan tersebut sebagai sebahagian daripada inisiatif pelancongan sukan berbasikal.
 
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, YBhg Dato’ Haji Azizan Noordin dalam ucapannya berkata bahawa Tourism Malaysia amat gembira kerana adanya media seperti Harian Metro yang menunjukkan komitmen tinggi untuk sama-sama membantu merancakkan aktiviti pelancongan berbasikal.
 
“Selain itu, kami merasakan penganjuran program ini adalah bertepatan pada waktunya kerana 2013 merupakan tahun kempen promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 dan kerjasama ini dapat memberi ruang kepada kami untuk menguar-nguarkankan kepada pembaca Harian Metro mengenai kempen tersebut.
 
“Apatah lagi saya difahamkan bahawa capaian untuk akhbar Harian Metro adalah lebih daripada empat juta rakyat Malaysia dan pastinya ini adalah medium terbaik untuk kami mempromosikan pelancongan domestik amnya dan pelancongan berbasikal khasnya,” sambung beliau lagi.
 
“Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2013” ~ CC1M akan dianjurkan di lima buah lokasi terpilih seperti Presint 15, Putrajaya (1-2 Jun), Pulau Duyung Besar, Kuala Terenggu (23-24 Ogos), Legoland, Nusajaya (28-29 September), Kellie’s Castle, Perak (26-27 Oktober) dan Selangor.
 
LATAR BELAKANG PELANCONGAN BERBASIKAL DI MALAYSIA
 
Pakej pelancongan berbasikal telah diperkenalkan di Malaysia oleh Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia pada penghujung tahun 2011 di Putrajaya. Sejak itu, terdapat peningkatan yang ketara dalam aktiviti berbasikal berkonsepkan santai dan pelancongan di seluruh negara.
Setakat ini, sebanyak 176 pakej pelancongan berbasikal telah dibangunkan dengan kerjasama 85 buah agensi pelancongan tempatan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Puan Maizura Abd Hamid, Pegawai Pelancongan Tertinggi, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia di 03-8891 8407 atau emel maizura@tourism.gov.my.


Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan Malaysia. Peranan Kementerian Pelancongan ialah melaksanakan dasar-dasar berkaitan pelancongan, menjalankan penyelidikan serta menawarkan insentif kepada para penggiat industri pelancongan manakala Tourism Malaysia pula bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa. Didorong oleh aspirasi untuk mempromosikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang unggul di rantau ini, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya sejak penubuhannya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam landskap sosioekonomi negara. Pada 2012, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM60.6 bilion.

Pada 2014, Malaysia akan menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat dengan tema “Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada tahun ini dan akan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020.            

Hubungi:
Unit Perhubungan Media:
Encik Razaidi Abd Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: razaidi@tourism.gov.my

Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use