Dec 29, 2019

GRAND SLAM MELAKA AKHIRI SURFCASTING TOUR 2019

MELAKA, 29 DISEMBER 2019 – Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2019 melabuhkan tirai dengan acara Grand Slam Final yang merupakan siri ke 10 dan terakhir pada hari ini. Acara ini diadakan di Pantai Puteri, Melaka di mana pemenang ditentukan bagi merebut hadiah utama berdasarkan markah kutipan pada setiap siri sejak siri pertama yang dijalankan pada 17 Mac 2019. Pertandingan dimulakan di Melaka, diikuti dengan Pasir Puteh, Kuala Selangor, Dungun, Lumut, Kuantan, Port Dickson, Pontian, Kuala Perlis dan diakhiri di lokasi yang sama seperti lokasi permulaan.

Pertandingan memancing persisiran pantai yang bertemakan “Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2019... A Journey to Visit Malaysia 2020” ini merupakan acara anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Wakjali Event Management yang dipilih sebagai salah satu daripada aktiviti untuk memberi kesedaran dan mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) ke seluruh negara.

Pertandingan Surfcasting Tour ini adalah acara memancing terbesar pernah diadakan di Malaysia. Sebagai satu daripada cabang niche tourism yang popular dengan rakyat tempatan, Tourism Malaysia berharap bahawa acara memancing ini bukan sahaja menarik minat pengail tempatan dan antarabangsa untuk turut serta, malah secara tidak langsung melonjakkan nama Malaysia sebagai destinasi yang kaya dengan sumber alam semula jadi dan perairan yang cantik, serta sesuai untuk aktiviti laut seperti memancing.

“Diharapkan melalui penganjuran program seperti ini, kita dapat menarik minat bukan sahaja pengail tempatan, malah pengail antarabangsa dan seterusnya memperkenalkan lagi aktiviti memancing di persisiran pantai Malaysia ke peringkat yang lebih jauh,” ucap Datuk Musa Yusof, Ketua Pengarah Tourism Malaysia ketika berucap di majlis penutup acara tersebut.

Selain menjadikan pertandingan ini sebagai satu platform untuk mempromosi dan memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai VM2020, program ini juga diharap agar menjadi medan untuk memperkenalkan pantai-pantai seluruh negara yang berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan, mengeratkan hubungan antara kaum, serta menjana ekonomi hiliran daripada aktiviti memancing; seperti jualan umpan, makanan, petrol, pakaian, peralatan memancing dan lain-lain.

Sasaran penyertaan untuk pusingan ke-10 ini adalah seramai 2,000 penyertaan. Penyertaan pada siri-siri sebelumnya amat memberangsangkan di mana setiap pusingan melibatkan penyertaan melebihi 1,500 orang secara purata. Selain peserta dari pelbagai negeri di Malaysia, terdapat juga peserta antarabangsa yang datang dari Singapura dan Thailand. Bagi memeriahkan pertandingan, acara sampingan turut diadakan iaitu Pertandingan Beyblade terbuka dan juga acara memancing keli dalam sangkar kanvas.

Pusingan yang terakhir ini menjanjikan hadiah wang tunai bernilai RM117,950 serta peluang untuk memenangi sebuah kereta Perodua Myvi, Perodua Bezza dan Perodua Axia berdasarkan markah pungutan tertinggi untuk sepanjang 10 pusingan acara pertandingan ini.

Malaysia mensasarkan 30 juta kedatangan pelancong luar dan hasil pendapatan pelancongan sebanyak RM100 bilion sempena sambutan kempen VM2020 yang menjanjikan sambutan hangat dengan pelbagai perayaan dan acara menarik sepanjang tahun. Senarai acara-acara utama ini boleh dilayari di laman web rasmi Visit Malaysia 2020 di http://vm2020.malaysia.travel/.

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.8 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Unit Media
Muadz Samat (En.)
Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Emel : muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use