Sep 15, 2015
FUN DRIVE TREASURE HUNT 2015
GEORGE TOWN, 15 September 2015 – Tourism Malaysia dengan kerjasama Kelab Media Mutiara Pulau Pinang akan menganjurkan program Fun Drive Treasure Hunt 2015 (FDTH 2015) pada 12 Disember nanti bagi meningkatkan promosi destinasi-destinasi pelancongan yang menarik di tanah besar Pulau Pinang.
Para peserta FDTH 2015 akan berlepas dari perkarangan Majlis Perbandaran Seberang Perai pada 12 Disember 2015 seawal jam 9.00 pagi. Mereka akan melalui kawasan Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara dan bakal berakhir di Hotel Grand Alora Alor Setar, Kedah bagi sama-sama membantu merancakkan promosi Tahun Melawat Kedah 2016 juga.
Antara tarikan pelancong yang terdapat di Seberang Perai Tengah ialah Batu Bertulis Cherok Tokun, Taman Burung Pulau Pinang dan Ku Cheng Tse Temple, manakala di Seberang Perai Utara pula terdapat Penang Golf Resort, Nine Emperor Gods Temple, Dataran Pemuda Merdeka dan perusahaan membuat Capal Jago.
Program FDTH 2015 ini telah menyasarkan sebanyak 30 hingga 40 buah kenderaan dengan yuran penyertaan sebanyak RM200 bagi empat orang sekumpulan. Setiap kumpulan akan dibekalkan dengan kemeja-T, baucar makan tengahari, baucar petrol bernilai RM40.00, hi-tea dan juga goodies bag.
Ia terbuka kepada semua pengamal media dan penggiat industri pelancongan domestik yang terdiri daripada para pengusaha pelancongan, pengusaha hotel/resort, dan pengusaha produk pelancongan dari Pulau Pinang khususnya, serta dari Wilayah Utara amnya.
Juara FDTH 2015 akan memenangi hadiah wang tunai bernilai RM3,000, manakala tempat kedua akan menerima RM2,000 dan ketiga RM1,000 bersama dengan hadiah iringan seperti hamper, sijil penyertaan berserta pingat.
Program Fun Drive Treasure Hunt 2015 ini diharapkan akan dapat mengeratkan hubungan antara Tourism Malaysia dengan para pengamal media dan juga rakan-rakan seindustri, serta menghargai peranan mereka dalam membangunkan industri pelancongan terutamanya di Wilayah Utara ini.
Selain itu, acara berbentuk pencarian harta karun ini adalah untuk tujuan amal kerana 10% daripada hasil kutipan wang penyertaan acara ini akan disumbangkan kepada persatuan/badan kebajikan yang akan dikenalpasti kelak.
Program FDTH 2015 ini juga disokong sepenuhnya oleh Shell AMN Cawangan Mak Mandin, McDonalds Malaysia, dan Majlis Perbandaran Seberang Perai, manakala hotel rasmi ialah Hotel Grand Alora Alor Setar, Kedah.
Borang penyertaan boleh dimuat turun dari www.facebook.com/FunDriveTreasureHunt2015 dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 16 November 2015.
STATISTIK
Menurut laporan daripada Jabatan Imigresen Cawangan Negeri Pulau Pinang, jumlah ketibaan pelancong asing ke Pulau Pinang bagi tempoh Januari hingga Julai 2015 adalah sebanyak 471,201, meningkat sebanyak 1.7% berbanding 463,331 dalam tempoh yang sama pada 2014.
Berdasarkan laporan Bahagian Penyelidikan Tourism Malaysia pula, jumlah penginap hotel di Wilayah Utara (Penang, Kedah, Perak dan Perlis) pada 2014 adalah seramai 12,848,610 orang berbanding 10,055,567 orang pada 2013
Bagi Tahun Melawat Kedah 2016, Kerajaan Negeri Kedah telah menyasarkan sebanyak lima juta pelancong domestik dan antarabangsa dengan pecahan Langkawi (3.5 juta pelancong) dan Kedah (1.5 juta pelancong).
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Penang, Cik Haryanty Abu Bakar di talian 04-2610058 atau emel haryanty@tourism.gov.my.
-TAMAT-
Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.
LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2014, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 27.4 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancong sebanyak RM72 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing.
Malaysia telah menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat pada 2014 dengan tema Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Promosi negara diteruskan dengan penganjuran Tahun Festival Malaysia (MyFest) pada 2015 dengan tema “Endless Celebrations” yang menekankan kepada pelbagai festival yang disambut oleh masyarakat yang
berbilang bangsa. Kedua-dua kempen ini menjadi pemacu ke arah mencapai sasaran ketibaan seramai 36 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion pada 2020, berdasarkan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).
Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka. Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui
pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.
Hubungi:
Unit Perhubungan Media:
Cik Chresentia F.B. Sadatal, Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8776
Emel: chresentia@tourism.gov.my
Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8759
Emel: anisramli@tourism.gov.my