Nov 13, 2019

EKSPRESI MEDIA KINABALU 2019 BAWA PENGGIAT MEDIA SOSIAL TEROKAI NEGERI DI BAWAH BAYU

KOTA KINABALU, 11 NOVEMBER 2019 – Program “Ekspresi Media Kinabalu 2019” anjuran Tourism Malaysia yang akan berlangsung selama lima hari dari 11 hingga 15 November akan disertai seramai 10 penggiat media cetak dan media dalam talian dari pelbagai agensi di Malaysia. Program yang merupakan edisi ketiga ini diadakan dengan tujuan untuk mempromosikan produk pelancongan di Sabah sempena kempen Melawat Malaysia 2020.

Ekspresi Media adalah program yang berkonsepkan lawatan suai kenal yang berbentuk interaktif di mana peserta akan terlibat secara langsung dalam aktiviti pelancongan. Bagi program kali ini, para peserta akan dibawa bersiar-siar dari Kota Kinabalu ke Tuaran, Kudat dan Kota Belud dan merasai sendiri pengalaman melawat lokasi menarik yang baharu mahupun yang sedia ada. Pengisian program termasuk pemeriksaan produk pelancongan baharu dan taklimat oleh para pengusaha industri pelancongan.

“Kita akan membawa media untuk mengalami ‘experiential tourism’ supaya para peserta media ini bukan sahaja dapat melihat destinasi menarik, malah mendekati adat dan budaya tempatan terutamanya di negeri Sabah yang terkenal dengan pelancongan berasaskan komuniti atau community-based tourism (CBT),” jelas Encik Iskandar Mirza Mohd Yusof, Pengarah Kanan Komunikasi Korporat Tourism Malaysia.

Jelas beliau lagi, program ini merupakan salah satu strategi Tourism Malaysia untuk menembusi dunia digital di mana penggiat media boleh memainkan peranan penting dengan memperkenalkan produk pelancongan melalui sudut penceritaan berpandukan konsep travel and storytelling yang mampu memberi impak yang tinggi di dalam era digital ini.

Para peserta program akan berpeluang melakukan pelbagai aktiviti seperti menginap di dalam khemah mewah atau dikenali sebagai “Glamping” di Cabana Retreat dan menaiki bot menyusuri sungai untuk menghayati pemandangan sekitar Pantai Rampayan yang didiami spesis monyet proboscis dan kunangkunang serta keindahan suasana matahari terbenam. Antara pengisian menarik program adalah pendedahan kepada pelbagai kaum yang unik di bumi Borneo seperti suku kaum Bajau, yang akan menyambut para peserta dengan berpakaian lengkap tradisional. Peserta juga akan mengunjungi Bengkel Kraftangan Tenunan Dastar Kota Belud untuk melihat barangan kesenian puak Irranun, menyaksikan cara pengaitan dan pemakaian etnik ini semasa perayaan majlis atau persembahan khas.

Selain kaum Bajau, para peserta akan mendekati masyarakat suku kaum Rungus dengan melihat proses pembuatan gong dan pembuatan manik yang digunakan oleh kaum ini. Disebabkan lokasi geografinya yang kaya dengan sumber produk tempatan, para peserta juga akan dibawa ke lokasi yang terkenal dengan teh di Sabah Tea Resort dan Desa Dairy Farm yang menghasilkan susu lembu segar.

Melalui pendekatan secara langsung, Tourism Malaysia berharap agar para penggiat media sosial yang terlibat akan berkongsi pengalaman dengan pembaca dan pengikut mereka dengan memberikan maklumat serta pengalaman yang diperolehi sepanjang perjalanan program mengenai produk pelancongan, sekali gus menimbulkan minat mereka untuk melawat negeri di bawah bayu ini.

Sebanyak 40 hingga 50 cerita mengenai Sabah dijangkakan akan dihasilkan oleh peserta yang akan diterbitkan dalam bentuk rencana dan juga muatnaik di laman media sosial seperti Facebook, Instagram, Youtube dan blog.

Dalam usaha memperluaskan jangkauan di laman media, tanda pagar #tourismmalaysia, #malaysiaairlines, #malaysiatrulyasia, #cuticutimalaysia, #vm2020 dan #ekspresimedia2019 akan digunakan sepanjang program untuk meningkatkan publisiti, serta membolehkan pembaca mengikut perkembangan program ini.

Kunci kejayaan program ini ialah perkongsian antara Tourism Malaysia dengan sektor swasta. Malaysia Airlines sebagai penaja penerbangan untuk program ini, telah tampil untuk memberikan sokongan mereka. Sementara itu, pihak berkepentingan pelancongan di peringkat negeri, pengusaha hotel dan pemilik produk pelancongan juga telah bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk menjayakan program ini.

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.8 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Hubungi:

Muadz Samat (En.)
Penolong Pengarah,
Bahagian Komunikasi Korporat
Emel : muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use