Jul 16, 2020

EKSPRESI MEDIA 2020 TEROKA PELANCONGAN PENGALAMAN BAHARU DI KELANTAN

PUTRAJAYA, 16 JULAI 2020: Sejumlah 15 pengamal media terdiri daripada agensi media cetak, penyiaran dan atas talian menyertai program Ekspresi Media Kelantan 2020 anjuran Tourism Malaysia selama lima hari bermula 16 hingga 20 Julai. Program tersebut antara lain bertujuan merapatkan hubungan erat yang sedia terjalin antara Tourism Malaysia bersama pihak media sekali gus menggalakkan mereka untuk mempromosi destinasi pelancongan menarik dan terkini di negeri Kelantan.

Program yang julung-julung kalinya diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada tahun ini membawa peserta untuk menikmati pengalaman ke tempat-tempat menarik selain memperoleh informasi terkini mengenai produk-produk pelancongan daripada para penggiat industri.

Pada asasnya, Ekspresi Media ialah program berkonsepkan lawatan suai kenal secara interaktif dengan mengetengahkan produk berasaskan pelancongan pengalaman atau ‘experiential tourism’ yang bukan sahaja melibatkan destinasi menarik, malah turut mendekati budaya, warisan, makanan serta pelancongan berasaskan komuniti.

Program yang masuk edisi keempat pada tahun ini diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri Kelantan selepas kejayaan penganjuran Ekspresi Media Kenyir, Ekspresi Media Lembah Bujang dan Ekspresi Media Kinabalu pada tahun lalu.

Para peserta memulakan pengembaraan dengan meneroka segmen ekopelancongan menerusi aktiviti ‘zip line’ sepanjang 180 meter berlatarbelakangkan pemandangan Gunung Che Tahir dan Air Terjun Sungai Batu di Jelawang Pipe Resort & Extreme Park, menelusuri gua batu kapur berusia 150 juta tahun di Kompleks Gua Ikan serta aktiviti ‘tubing’ di Sungai Kenerong di Dabong.

Di Kota Bharu, mereka pula akan berpeluang meneroka budaya di pantai timur dengan menaiki perahu kolek di Sungai Pengkalan Datu yang menjadi tarikan terbaharu sebelum dibawa melawat rumah warisan berusia 200 tahun, Pantai Senok (Pantai Nami) di Bachok serta Masjid Ar-Rahman di Pulau Gajah selain menyaksikan perkampungan nelayan dan rumah api serta aktiviti komuniti setempat seperti penuaian nira nipah dan pengutipan lokan.

Para media juga akan dibawa menaiki beca untuk melihat seni jalanan selain melawat Galeri Wayang Kulit Tradisional Kelantan di Kampung Morak dan Bengkel Batik Ayu Fashion di Kampung Talak yang masing-masing menjadi pusat rujukan wayang kulit dan memiliki lebih 5,000 blok cop batik.

Di Tumpat, mereka juga berpeluang menaiki bot ke pasar terapung pertama di Malaysia iaitu Pantai Suri Floating Market dan melihat sendiri demonstrasi pembuatan kuih kapit serta pertandingan ayam berkokok selain melawat perusahaan desa melibatkan pembuatan serunding, dodol dan kuih gelembung buaya.

Bersempena program Media Ekspresi Kelantan 2020 pada kali ini, turut dianjurkan ialah lawatan ke Collectibles Museum iaitu muzium Diecast pertama di Malaysia yang juga merupakan muzium hobi mainan pertama di negeri Kelantan.

“Diharap melalui perkongsian pengalaman oleh para pengamal media ini dapat merancakkan lagi aktiviti promosi pelancongan domestik di laman media sosial terutamanya di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube dan blog sekali gus menggalakkan masyarakat untuk keluar melancong bagi menyokong perencanaan kempen Cuti-Cuti Malaysia (CCM) khususnya pada fasa pemulihan krisis COVID-19,” kata Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof.

TAMAT

Untuk maklumat lanjut mengenai siaran media mahupun maklumat mengenai industri pelancongan Malaysia, boleh melayari laman sesawang Pusat Media Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA atau TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada tahun 2019, Malaysia telah mencatatkan ketibaan seramai 26.1 jutapelancong asing yang menyumbang kepada pendapatan pelancongan sebanyak RM86.14 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Muadz Samat
Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755


Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use