Nov 27, 2021

DISKAUN 50% PAKEJ PELANCONGAN INAP DESA HANYA DI PORTAL JOMHOMESTAY.MY

KUCHING, 27 NOVEMBER 2021 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya, Tourism Malaysia hari ini melancarkan portal jomhomestay.my yang menawarkan diskaun sehingga 50% bagi pakej-pakej pelancongan inap desa di seluruh negara sehingga 31 Disember 2021.

Kempen promosi tersebut merupakan hasil kerjasama dengan Persatuan Kampungstay & Homestay Malaysia (MKHA) dan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri di Hotel Pullman, Kuching, Sarawak.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy berkata, tawaran diskaun produk-produk inap desa di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 1.0 itu bertujuan menyemarakkan pelancongan domestik.

“Kesemua produk inap desa yang tersenarai dalam portal jomhomestay.my adalah berdaftar dengan MOTAC. Kita berharap seluruh Keluarga Malaysia dapat merebut peluang untuk melancong di dalam negara serta merasai sendiri pengalaman inap desa yang ditawarkan.

“Langkah ini sekali gus diharap dapat membantu proses pemulihan industri pelancongan negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” jelas YB Dato’ Sri Hajah Nancy.

Sehingga kini, sebanyak 150 pakej ditawarkan melibatkan 60 kluster pengusaha inap desa dari seluruh Malaysia dengan tawaran harga pakej serendah RM80 seorang.

Hanya pembelian melalui portal jomhomestay.my layak menikmati diskaun sebanyak 50% dan tempoh sah laku pakej adalah sehingga 31 Disember 2022.

Maklumat lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan boleh diperoleh dengan melayari laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel atau www.jomhomestay.my

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Pada tahun 2019, Malaysia mencatatkan ketibaan seramai 26.1 juta pelancong asing yang menyumbang kepada pendapatan pelancongan sebanyak RM86.14 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Muhammad Aminuddin Abdul Majid
Penolong Pengarah Kanan
Bahagian Pembangunan Pakej
aminuddin@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8528

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use