"DISCOVER MALAYSIA BY BICYCLE GUIDEBOOK" TINGKATKAN PROMOSI PELANCONGAN BERBASIKAL NEGARA
KUALA LUMPUR, 19 April 2015 – Tourism Malaysia dengan kerjasama 32 buah agensi pelancongan tempatan telah menerbitkan “Discover Malaysia by Bicycle Guidebook” yang menawarkan 74 buah pakej pelancongan berbasikal yang menarik.
Buku panduan tersebut telah dilancarkan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia, Datuk Rashidi Hasbullah pada program “Kuala Lumpur Car Free Morning” di Dataran DBKL 1, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.
“Melalui pakej ini, para pelancong dari dalam dan luar negara berpeluang untuk menerokai lebih banyak destinasi pelancongan di seluruh negara secara berbasikal. Antara pakej menarik yang ditawarkan ialah berbasikal mengelilingi bandar Kuching melalui Pakej Classic City Ride, Pakej Berbasikal Taman Negara dan Pakej Kota Bharu Cycling Tour,” kata Datuk Rashidi dalam ucapan perasmiannya.
Beliau percaya bahawa penerbitan “Discover Malaysia by Bicycle Guidebook” ini amat bertepatan sekali dengan program “KL Car Free Morning” kerana ia boleh meningkatkan aktiviti pelancongan berbasikal di Kuala Lumpur.
“Saya amat gembira kerana segmen pelancongan berbasikal terus mendapat sambutan dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara. Pada tahun 2014, sebanyak 4,072 buah pakej pelancongan berbasikal bernilai RM725,612.07 telah berjaya dijual di seluruh negara,” jelas beliau lagi.
Sejak 2011, sebanyak 202 pakej pelancongan berbasikal telah dibangunkan dengan kerjasama 95 buah agensi tempatan.
“Discover Malaysia by Bicycle Guidebook” ini boleh didapati di Pusat-pusat Penerangan Pelancongan Tourism Malaysia (TIC), Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) dan pejabat-pejabat Tourism Malaysia di seluruh negeri.
Kempen “KL Car Free Morning” anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini telah mula diadakan pada hari Ahad minggu pertama sejak bulan Disember 2013. Walau bagaimanapun, bermula Januari 2015 ia diadakan dua kali setiap bulan iaitu pada hari Ahad minggu pertama dan ketiga.
Aktiviti pelancongan berbasikal sejauh 6.5km yang bermula seawal jam 7.00 pagi ini akan melalui Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, Jalan Ampang dan berakhir di Jalan P Ramlee.
Kempen ini bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan rekreasi serta mengurangkan pelepasan asap karbon dioksida di dalam bandar.
Selain itu, pelbagai acara sampingan yang menarik seperti gerai jualan, pertandingan mewarna, pertunjukan pentas turut diadakan bagi memeriahkan kempen berbasikal ini.
Untuk maklumat lanjut mengenai buku panduan “Discover Malaysia By Bicycle”, sila hubungi Encik Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia di 03-8891 8414 atau emel mohdamirul@tourism.gov.my
-TAMAT-
Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di www.tourismmalaysia.gov.my
LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2013, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.7 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM65.4 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing dan penyumbang keenam terbesar kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).
Malaysia telah menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat pada 2014 dengan tema Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Promosi negara diteruskan dengan penganjuran Tahun Festival Malaysia (MyFest) pada 2015 dengan tema “Endless Celebrations” yang menekankan kepada pelbagai festival yang disambut oleh masyarakat yang berbilang bangsa. Kedua-dua kempen ini menjadi pemacu ke arah mencapai sasaran ketibaan seramai 36 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion pada 2020, berdasarkan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).
Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka. Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.
Hubungi:
Unit Perhubungan Media:
Cik Azizah Aziz, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8752
Emel: azizahaziz@tourism.gov.my
Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8759
Emel: anisramli@tourism.gov.my