Jul 9, 2019

DANA RM5 JUTA GAMELAN MALAYSIA 2019 UNTUK SOKONG USAHA PROMOSI PELANCONGAN


KUALA LUMPUR, 9 JULAI 2019 – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Y.B. Datuk Mohamaddin Ketapi hari ini mengumumkan bahawa para penggiat industri pelancongan akan mendapat akses kepada dana pelancongan khas berjumlah RM5 juta bagi menyokong usaha mempromosikan Malaysia. Beliau mengumumkan perkara tersebut di sidang media yang diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Jalan Ampang, di sini.

Dana tersebut, yang dikenali sebagai GAMELAN Malaysia iaitu singkatan daripada Galakan Melancong Malaysia, adalah peruntukan khas dari Kementerian Kewangan (MOF) yang disalurkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, manakala Tourism Malaysia pula dilantik sebagai agensi pelaksana.

Ia bertujuan membantu sektor-sektor swasta yang terlibat dalam pelancongan untuk memperhebat usaha promosi dan pemasaran mereka ke arah meningkatkan jumlah ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia, di samping merancakkan pelancongan domestik.

Geran Sepadan ini adalah berbentuk bantuan peruntukan secara pengembalian kewangan (reimbursable financial assistance) yang dengannya syarikat-syarikat dalam industri pelancongan yang berkelayakan boleh menuntut sebanyak 50% daripada jumlah perbelanjaan sebenar atau mengikut had maksimum yang telah ditetapkan bagi setiap kategori projek.

Setiap penerima geran akan diberikan siling peruntukan sebanyak RM200,000 bagi memastikan pengagihan geran adalah adil dan saksama. Mana-mana pihak yang telah menggunakan sepenuhnya siling peruntukan untuk pelbagai projek mereka tidak akan dipertimbangkan lagi.

Mereka yang layak untuk memohon dana tersebut termasuklah persatuan-persatuan pelancongan berdaftar/diiktiraf di Malaysia; agensi-agensi pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; para pengusaha penginapan yang berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, persatuan-persatuan beli-belah berdaftar/diiktiraf di Malaysia, para pengusaha Community Based Tourism (CBT) berdaftar/diiktiraf di Malaysia; kelab-kelab dan persatuan-persatuan yang mempromosikan produk minat khas seperti percutian golf, pemerhatian burung, selam skuba, pelancongan memancing, pelancongan perkahwinan, pelancongan basikal, pelancongan kembara mendaki gunung dan luncur udara, pelancongan permotoran serta pelancongan gastronomi; dan syarikat-syarikat yang menyediakan program-program ‘servicing’ atau mempromosikan Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE) di dalam dan luar negara.

Projek-projek yang layak untuk pengembalian kewangan terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu penyertaan di dalam pameran pelancongan, penganjuran misi jualan dan jerayawara serta program ‘servicing’ dan promosi MICE. Terdapat jumlah maksimum untuk bayaran balik bagi setiap projek atau kategori.

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.8 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Hubungi:

Unit Media
Encik Muadz Samat, Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8755
Emel: muadz@tourism.gov.my

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use