Feb 5, 2016

CUTI-CUTI 1MALAYSIA `DEKAT JE’-TRAVEL FAIR GALAKKAN PERCUTIAN DALAM NEGARA

PUTRAJAYA, 5 Februari 2016 - Seramai 60 peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi pelancongan, hotel dan resort serta pengusaha produk pelancongan dari seluruh negeri di Malaysia akan menyertai Cuti-Cuti 1Malaysia `Dekat Je’ Travel Fair yang buat julung-julung kalinya dianjurkan oleh Tourism Malaysia dari 26 hingga 28 Februari di KSL City, Johor Bahru.

“Pameran pelancongan ini merupakan kesinambungan daripada kempen domestik Tourism Malaysia yang terbaru iaitu Cuti-Cuti 1Malaysia Dekat Je yang telah dilancarkan pada 17 Jun tahun lalu,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Tan Sri Dr. Ong Hong Peng kepada pemberita di Majlis Prapelancaran Cuti-Cuti 1Malaysia `Dekat Je’ Travel Fair di sini, hari ini.

Menurut Tan Sri Dr. Ong, Tourism Malaysia telah menyasarkan jualan pakej bernilai RM1juta melalui penawaran pelbagai produk dan pakej pelancongan domestik yang menarik kepada 15,000 orang pengunjung yang dijangka akan hadir pada pameran itu nanti.

“Sekiranya kita membuat perancangan awal, perbelanjaan untuk melancong seperti tambang kenderaan dan penginapan akan dapat dijimatkan. Dengan adanya pameran seumpama ini, orang ramai boleh merancang percutian sama ada bersama keluarga atau rakan-rakan sepanjang 2016 dengan kos yang lebih rendah,” ujar Tan Sri Dr. Ong lagi.

Beliau turut menyarankan rakyat Malaysia supaya melancong dalam negara sendiri memandangkan nilai kadar pertukaran mata wang asing yang tinggi.

“Selain pameran pelancongan ini, Tourism Malaysia akan turut menganjurkan Cuti-Cuti 1Malaysia Dekat Je Travel Mart pada 25 Februari 2016 di Hotel Mutiara, Johor Bahru. Program berbentuk niaga ke niaga (B2B) ini akan diadakan antara para peserta dari seluruh Malaysia dengan para pengusaha pelancongan dari Johor dan Singapura,” sambung beliau.

Pada 2014, jumlah pelancong domestik telah meningkat sebanyak 11.6%kepada 60.7 juta orang berbanding 54.4 juta orangpada 2013.

Jumlah penginap hotel pelancong domestik bagi 2014 menunjukkan peningkatan sebanyak 32.4% iaitu seramai 45.4 juta orang.

Cuti-Cuti 1Malaysia `Dekat Je’ Travel Fair bakal memaparkan pelbagai aktiviti seperti persembahan kebudayaan negeri-negeri yang terlibat, cabutan bertuah, dan permainan menarik untuk para pengunjung.

Pameran akan bermula pada jam 10 pagi hingga 10 malam dan masuk adalah percuma.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Cik Syazalena Amir, Penolong Pengarah, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia atau Encik Hisham Hak, Pegawai Pelancongan, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia di talian 08-8891 8440/8412.

-TAMAT-


Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2014, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 27.4 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancong sebanyak RM72 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing.

Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka dan seterusnya menjadi pemacu ke arah mencapai sasaran ketibaan seramai 36 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion pada 2020.

Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.

Hubungi

Unit Media dan Publisiti
Shukri Hanafiah, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi Korporat

Tel: +603-8891 8767

Emel: shukrihanafiah@tourism.gov.my

Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi Korporat

Tel: +603-8891 8759

Emel:
anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use