Mar 24, 2014

CITRAWARNA 1MALAYSIA RANCAKKAN SAMBUTAN TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2014 DI PULAU PINANG

GEORGETOWN, 22 Mac 2014 – Buat julung-julung kalinya, Citrawarna 1Malaysia peringkat negeri telah diadakan di Pulau Pinang secara besar-besaran sempena Tahun Melawat Malaysia 2014. Acara Citrawarna 1Malaysia Pulau Pinang 2014 ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Industri Pelancongan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Encik Rashidi Hasbullah di Padang Kota Lama, di sini, hari ini.

Citrawarna 1Malaysia Pulau Pinang 2014 ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Pulau Pinang serta Tourism Malaysia Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pulau Pinang. Acara ini turut mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Mutiara FM bertindak sebagai radio rasmi dan memberi liputan siaran langsung dari lokasi sambutan dan hebahan kepada pengunjung dan pendengar di Wilayah Utara.

Penganjuran acara ini bertujuan untuk menonjolkan kekayaan budaya dan warisan negara kepada pelancong dalam dan luar negara selain memperkenal dan mempromosikan keunikan seni dan budaya yang terdapat di Pulau Mutiara tersebut.

Citrawarna 1Malaysia Pulau Pinang 2014 yang berlangsung dari 12.00 tengah hari hingga 11.00 malam ini mempunyai tiga segmen utama iaitu pameran interaktif dan demonstrasi, persembahan jalanan dan persembahan pentas.

Segmen pameran interaktif dan demonstrasi melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan Persatuan Homestay Pulau Pinang selain pameran kereta klasik, pertunjukan Raja Teh Tarik dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.

Bagi segmen persembahan jalanan, para pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan muzik jalanan, pertunjukan badut, pertunjukan pancaragam oleh Tentera Laut Diraja Malaysia serta persembahan kebudayaan seperti  persembahan tarian singa, pertunjukan chingay, persembahan gendang Cina dan caklempong.

Citrawarna 1Malaysia Pulau Pinang 2014 turut dimeriahkan dengan persembahan pentas oleh artis-artis tempatan seperti Dato’ M. Daud Kilau, Nasir Wahab, One Nation Emcee, Kaka, Chen I Jen dan Santhana Mary. Pertunjukan bunga api akan mengakhiri acara yang penuh gilang-gemilang ini.

Statistik Kedatangan Pelancong ke Pulau Pinang

Berdasarkan statistik daripada Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang, Pulau Pinang telah mencatatkan kedatangan pelancong seramai 1,756,041 orang pada 2013 melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas dan Pelabuhan Swettenham. Seramai 1,260,743 daripada jumlah keseluruhan pelancong tersebut adalah terdiri daripada pelancong asing.

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Cik Haryanty Abu Bakar, Timbalan Pengarah, Tourism Malaysia Pulau Pinang atau Cik Nurul Aida Mohamed Noor, Pegawai Pelancongan di talian 04-261 0058 atau emel haryanty@tourism.gov.my dan nurulaida@tourism.gov.my.

    -TAMAT-    
                                

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2013, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.7 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM65.4 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing dan penyumbang keenam terbesar kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).

Pada 2014, Malaysia akan menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat dengan tema Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada tahun ini dan akan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020.            

Hubungi:
Unit Perhubungan Media:

Encik Razaidi Abd Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: razaidi@tourism.gov.my

Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use