Sep 23, 2013

CC1M TRAVEL FAIR 2013/PROMOSI VMY 2014 SIRI 2 RANCAKKAN PROMOSI KEMPEN TAHUN MELAWAT MALAYSIA (VMY) 2014

PETALING JAYA, 21 SEPT 2013: Pakej Cuti Sekolah menjadi tarikan terbaru di pameran pelancongan Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) Travel Fair 2013/Promosi VMY 2014 Siri 2 yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia di ruang legar e-Curve, Mutiara Damansara dari 20 hingga 22 September ini.

Pameran pelancongan Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) Travel Fair 2013/Promosi VMY 2014 Siri 2 ini telah dilancarkan oleh Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia, Encik Musa Yusof di sini, hari ini.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha Tourism Malaysia untuk membantu mempromosikan pelbagai produk pelancongan secara lebih bersepadu di samping memperhebatkan lagi kempen domestik Cuti-Cuti 1Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Sebanyak 17 organisasi yang terdiri daripada para pengusaha agensi pelancongan, para pengusaha produk pelancongan, para pengusaha hotel dan resort, para pengusaha homestay, pengusaha taman tema dan pengusaha pengangkutan telah menyertai pameran ini.

Memandangkan bulan November dan Disember merupakan musim cuti persekolahan bagi Malaysia dan Singapura, para peserta pameran pelancongan ini telah menumpukan kepada penawaran pakej-pakej cuti sekolah bagi menarik minat para pengunjung untuk merancang percutian bersama keluarga di dalam negara; selain menawarkan lain-lain pakej-pakej pelancongan domestik yang kreatif dan menarik.

Di samping itu, pelbagai aktiviti sampingan seperti pertunjukan silap mata dan persembahan badut turut diadakan bagi memeriahkan suasana pameran.

Pameran pelancongan selama tiga hari tersebut merupakan kesinambungan daripada CC1M        Travel Fair 2013/Promosi VMY 2014 yang julung kalinya diadakan di Pusat Pemborong GM Klang di Klang pada 19 hingga 21 April yang lalu.

Sasaran Tourism Malaysia untuk jumlah hasil jualan pakej pelancongan domestik dan nilai publisiti keseluruhan pada edisi kedua pameran pelancongan ini ialah sebanyak RM200,000.

Pada pameran pelancongan CC1M Travel Fair/Promosi VMY 2014 siri pertama yang lalu, sebanyak  351 buah pakej pelancongan telah berjaya dijual dengan jumlah nilai jualan sebanyak RM48,541 serta melibatkan seramai 12 penggiat industri pelancongan tempatan. Dianggarkan sebanyak 40% pakej pelancongan lagi telah terjual selepas pameran berlangsung.


“Flashmob”

Sebagai gimik pelancaran pameran pelancongan CC1M Travel Fair/Promosi VMY 2014 Siri 2,          Tourism Malaysia telah menganjurkan perarakan tarian ala “flashmob” pada hari ini di Piazza, The Curve.

“Flashmob” yang melibatkan persembahan tarian seramai 80 orang penari professional ini juga merupakan kelainan yang cuba dicipta oleh Tourism Malaysia bagi meningkatkan usaha promosi kempen Tahun Melawat Malaysia 2014.

Acara “flashmob” ini akan turut dimuat naik ke laman Youtube yang merupakan laman web perkongsian video yang utama di Internet dan salah satu gergasi media sosial selain Facebook dan Twitter. Ia adalah sebahagian daripada strategi Tourism Malaysia untuk meningkatkan penggunaan media sosial sebagai wadah untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2014.

Untuk maklumat lanjut mengenai acara tersebut, sila hubungi Puan Razimah Mohd Radzi, Pegawai Pelancongan, Tourism Malaysia Selangor di 03-5510 9100 atau emel razimah@tourism.gov.my.

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.


LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA
ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2012, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM60.6 bilion sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan ke-10 paling popular di dunia


Pada 2014, Malaysia akan menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat dengan tema “Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada tahun ini dan akan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020.            


Hubungi:
Unit Perhubungan Media:

Encik Razaidi Abd Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: razaidi@tourism.gov.my

Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use