Dec 23, 2013

"CC1M NATIONWIDE CYCLING PACKAGES 2014" TAWAR PELBAGAI AKTIVITI BERBASIKAL DI SELURUH NEGARA

PUTRAJAYA, 21 DISEMBER  2013 – Sebanyak 104 buah pakej pelancongan berbasikal “CC1M Nationwide Cycling Packages 2014” telah dibangunkan hasil usaha sama antara 14 pejabat Tourism Malaysia negeri dengan 46 agensi pelancongan tempatan.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato’ Mirza Mohamamad Taiyab telah melancarkan pakej “CC1M Nationwide Cycling Packages 2014” pada program “Putrajaya CC1M Bike Ride 2013” yang telah diadakan di Dataran Putra, Presint 3 di sini, hari ini. Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan S Sri Dato’ Seri (Dr.) Aseh Che Mat turut hadir untuk menyaksikan acara tersebut.

Pelancaran pakej ini amat bertepatan sekali kerana dapat mempelbagaikan lagi pakej pelancongan di negara ini terutamanya semasa sambutan Tahun Melawat Malaysia 2014.

Setiap negeri menawarkan pelbagai laluan basikal yang menarik untuk para penunggang basikal yang berbeza tahap kemahiran. Salah satu pakej menarik yang ditawarkan ialah pakej Tour@Putrajaya/Paya Indah Wetlands selama 3 hari 2 malam. Pakej ini memberi peluang kepada para pelancong untuk melawat pejabat dan kediaman Perdana Menteri, Monumen Alaf Baru dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Selain itu, para pelancong juga berpeluang untuk menikmati keindahan flora dan fauna di Taman Warisan Pertanian dan Taman Botani, memberi makan kepada badak air dan  buaya di Paya Indah Wetlands di samping menaiki Cruise Tasik Putrajaya, berbasikal, berkayak dan sebagainya.

Sebanyak 4,940 buah pakej pelancongan berbasikal bernilai RM817,070 telah berjaya dijual di seluruh negara dari Januari hingga November 2013.

Brosur “CC1M Nationwide Cycling Packages 2014” boleh didapati di Pusat Penerangan Pelancongan (TIC), Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) dan Pejabat-pejabat Tourism Malaysia Negeri. 

Program Cuti-Cuti 1Malaysia Putrajaya Bike Ride 2013 
 
Program Cuti-Cuti 1Malaysia Putrajaya Bike Ride 2013 merupakan aktiviti kayuhan santai sejauh 25 km. Acara kayuhan ini merupakan kolaborasi antara Tourism Malaysia bersama Perbadanan Putrajaya. 

Antara objektif program ini adalah untuk mempromosikan Putrajaya sebagai salah satu destinasi pelancongan yang unik dan bandar ‘mesra basikal’. 
  
Program ini juga mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak swasta, badan-badan kerajaan, badan-badan bukan kerajaan dan orang ramai. 

Lebih daripada 2,000 orang peserta telah menyertai acara ini. 

Bagi memeriahkan lagi program ini, pelbagai acara sampingan yang menarik seperti persembahan artis-artis tempatan dan cabutan bertuah turut diadakan.  

Program Cuti-Cuti 1Malaysia Putrajaya Bike Ride 2013 ini turut mendapat penajaan Cycling Malaysia sebagai majalah rasmi, Instyle Eyewears Sdn. Bhd., Universal Fitness & Leisure, Ciclista Sdn. Bhd., Jvckenwood Malaysia, LERUN Industries, KEY Power Malaysia, Stanson Marketing Sdn.Bhd, Sen Aik Trading Sdn.Bhd dan Net Eon Touch. 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Encik Mohd Badrul Amin Bisharuddin, Penolong Pengarah, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia di 03-8891 8453 atau emel mohdbadrulamin@tourism.gov.my

TAMAT


Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.


LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2012, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM60.6 bilion sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan ke-10 paling popular di dunia

Pada 2014, Malaysia akan menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat dengan tema “Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada tahun ini dan akan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020.            


Hubungi:
Unit Perhubungan Media:
Encik Razaidi Abd Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: razaidi@tourism.gov.my

Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use