Dec 19, 2014

CC1M BIKE RIDE @PUTRAJAYA 2014 WARNAI PELANCONGAN BERBASIKAL NEGARA

PUTRAJAYA, 20 Disember 2014 – Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Dato’ Haji Azizan Noordin telah melancarkan buku panduan “Discover Malaysia by Bicycle Guidebook” sempena Majlis Perasmian Edisi Keempat Cuti-Cuti 1Malaysia Bike Ride @Putrajaya di Dataran Putrajaya, Presint 3, di sini, hari ini.  

Dato’ Haji Azizan dalam ucapannya berkata bahawa Tourism Malaysia dengan kerjasama 32 buah agensi tempatan telah berjaya membangunkan sebanyak 74 buah pakej pelancongan berbasikal untuk dimuatkan dalam buku panduan tersebut. 

“Melalui pakej ini, para pelancong dalam dan luar negara berpeluang untuk menerokai lebih banyak destinasi pelancongan di seluruh negara dengan berbasikal. Saya dapati bahawa antara pakej paling menarik yang ditawarkan ialah pakej 3 hari 2 malam Classic City Ride mengelilingi bandar Kuching,Sarawak, 4 hari 3 malam Pakej Berbasikal Taman Negara dan 3 hari 2 malam Kota Bharu Cycling Tour” tambah beliau lagi. 

Beliau percaya bahawa penerbitan buku panduan “Discover Malaysia by Bicycle Guidebook” ini akan menjadi pelengkap kepada program Cuti-Cuti 1Malaysia Bike Ride @Putrajaya ini dalam kalangan para peminat tegar aktiviti berbasikal di Malaysia. 

Program tahunan anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya ini telah berjaya menarik penyertaan lebih daripada 2,500 pencinta aktiviti berbasikal dari seluruh Malaysia. 

Ia telah dibahagikan kepada tiga kategori iaitu ‘Family Fun Ride’ - 12 km, ‘Fun Ride Challenge’ - 35km, dan ‘BMX Tourism Sprint’ - 300 meter.  

Selain itu, pelbagai acara sampingan yang menarik seperti pameran dan cabutan bertuah turut diadakan bagi memeriahkan program tersebut.
 
Program Cuti-Cuti 1Malaysia Bike Ride @Putrajaya 2014 ini turut mendapat Felda Wellness Corporation, Roda Pantas, Cycling Malaysia, Harian Metro, Drive M7,Rapid Dino (M) Sdn Bhd, Jiwa Basikal, UFL & Deuter, Ciclista , JVC, Instyle Eyewears, Sen Aik Trading, Nestle, Grand Lexis Group, Sutera Harbour Hotel.  
 
STATISTIK 

Sebanyak 202 pakej pelancongan berbasikal telah dibangunkan sejak tahun 2011 sehingga tahun 2014 dengan kerjasama 95 buah agensi pelancongan tempatan. 

Sepanjang tempoh Januari hingga November 2014, sebanyak 3,547 buah pakej pelancongan berbasikal bernilai RM657,452.07 telah berjaya dijual di seluruh negara, manakala sebanyak 5,290 buah pakej pelancongan berbasikal bernilai RM844,720 telah berjaya dijual sepanjang 2013. 

Untuk maklumat lanjut mengenai CC1M Bike Ride @Putrajaya, sila hubungi Encik Mohd Badrul Amin Bisharuddin, Penolong Pengarah, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia di 038891 8453 atau emel mohdbadrulamin@tourism.gov.my
 
-TAMAT-   

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2013, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.7 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM65.4 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing dan penyumbang keenam terbesar kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).

Malaysia sedang menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat pada 2014 dengan tema Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Promosi negara diteruskan dengan penganjuran Tahun Festival Malaysia (MyFest) pada 2015 dengan tema “Endless Celebrations” yang menekankan kepada pelbagai festival yang disambut oleh masyarakat yang berbilang bangsa. Kedua-dua kempen ini menjadi pemacu ke arah mencapai sasaran ketibaan seramai 36 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion pada 2020, berdasarkan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). 

Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka. Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.       

Hubungi:

Unit Perhubungan Media:
Cik Azizah Aziz,

Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8752
Emel:
azizahaziz@tourism.gov.my 

Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli,

Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8759
Emel:
anisramli@tourism.gov.my     
 

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use