ANUGERAH PELANCONGAN MALAYSIA 2014/2015 KINI DIBUKA UNTUK PENCALONAN
KUALA LUMPUR, MALAYSIA, 31 Mac, 2015 – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dengan sukacitanya telah membuka pencalonan untuk Anugerah Pelancongan Malaysia 2014/2015.
Anugerah Pelancongan Malaysia (APM) yang berprestij ini memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada para penggiat industri pelancongan tempatan dan antarabangsa atas sumbangan dan pencapaian cemerlang mereka dalam pembangunan produk-produk dan perkhidmatan yang inovatif. APM kali ini adalah edisi yang ke-19 dan dianjurkan setiap dua tahun sekali.
Ahli fraterniti pelancongan Malaysia adalah dijemput untuk menghantar pencalonan bagi 14 kategori anugerah seperti yang tersenarai di bawah:
• Pengusaha Pelancongan Tempatan Terbaik
• Pengusaha Pelancongan Antarabangsa Terbaik
• Artikel Pelancongan Terbaik
• Penerbitan Pelancongan Terbaik
• Perkhidmatan Hotel Terbaik
• Tarikan Pelancongan Terbaik
• Pakej Pelancongan Terbaik
• Pemandu Pelancong Terbaik
• Pusat Beli-Belah Berinovasi
• Inap Desa Terbaik
• Spa Terbaik
• Restoran Berinovasi
• Dokumentari Pelancongan Terbaik Mengenai Malaysia
• Promosi Online Terbaik Mengenai Malaysia
Anugerah Pelancongan Malaysia 2014/2015 telah memperkenalkan beberapa perubahan bagi memberi gambaran yang lebih baik terhadap lanskap industri pelancongan global yang terkini. Ia kini mempunyai 14 kategori dan 50 subkategori untuk dipertandingkan.
Dua kategori baru yang telah diperkenalkan ialah:
a. Dokumentari Pelancongan Terbaik Mengenai Malaysia
– Anugerah ini memberi pengiktirafan kepada penerbitan dokumentari pelancongan mengenai Malaysia yang ditayangkan dalam pelbagai medium elektronik dan dalam talian (online).
b. Promosi Online Terbaik Mengenai Malaysia
– Anugerah ini memberi pengiktirafan kepada pengusaha yang mempromosikan pelancongan Malaysia secara dalam talian.
Selain itu, kategori Pengusaha Pelancongan Antarabangsa Terbaik telah diperluaskan dari 10 kepada 18 subkategori, manakala Penerbitan Pelancongan Terbaik pula tidak lagi terhad kepada majalah pelancongan sahaja. Kini, ia turut terbuka kepada medium penerbitan lain seperti coffee table book, guide book tempatan dan antarabangsa yang membuat liputan mengenai Malaysia.
Borang-borang pencalonan boleh dimuat turun melalui laman web www.motac.gov.my atau www.tourismmalaysia.gov.my. Borang yang telah lengkap dan sebarang pertanyaan boleh dihantar ke:
Jawatankuasa Penghakiman
Sekretariat Anugerah Pelancongan Malaysia 2014/2015
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia
Tingkat 2, No. 2, Menara 1
Jalan P5/6, Presint 5
62200 Putrajaya
Malaysia
Emel: apm2015@tourism.gov.my
Ahli perdagangan pelancongan antarabangsa juga dijemput untuk menghantar pencalonan mereka untuk kategori yang berkaitan. Mereka boleh menghubungi pejabat-pejabat Tourism Malaysia di luar negara untuk maklumat lanjut mengenai serahan. (Sila layari www.tourismmalaysia.gov.my untuk mendapatkan senarai pejabat-pejabat Tourism Malaysia di luar negara).
Tarikh tutup ialah 30 Jun 2015.
ANUGERAH PELANCONGAN MALAYSIA
Pertama kali diperkenalkan pada tahun 1987 oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, dan dikenali sebagai “Anugerah Emas Pelancongan Malaysia” tetapi dijenama semula sebagai “Anugerah Pelancongan Malaysia” pada 1993 bagi menggambarkan keunggulan anugerah tersebut dan juga imej korporat Tourism Malaysia.
Anugerah berprestij ini merupakan satu penghormatan kepada mereka yang cemerlang dan sentiasa memberi sokongan padu terhadap pembangunan pelancongan di Malaysia. Ia juga bertindak sebagai insentif bagi para peserta untuk berusaha dengan lebih keras lagi bagi mencapai tahap profesional dan kualiti yang tertinggi dalam pembangunan produk dan perkhidmatan.
Anugerah Pelancongan Malaysia adalah pengiktirafan tertinggi kepada individu dan organisasi yang telah memberikan sumbangan cemerlang kepada pembangunan dan kejayaan industri pelancongan di Malaysia. Ia telah berkembang daripada program penghargaan yang hanya tertumpu kepada skop pelancong dan perjalanan sahaja kepada keseluruhan industri perkhidmatan yang turut menghargai kepentingan pengunjung tempatan. Ia juga mengiktiraf para penggiat industri yang mampu menghasilkan idea di luar batasan bagi membangunkan produk dan perkhidmatan yang unik sekaligus menghasilkan pengalaman percutian yang tidak dapat dilupakan di Malaysia.
-TAMAT-
Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di www.tourismmalaysia.gov.my
LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2014, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 27.4 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM72 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing.
Malaysia telah menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat pada 2014 dengan tema Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Promosi negara diteruskan dengan penganjuran Tahun Festival Malaysia (MyFest) pada 2015 dengan tema “Endless Celebrations” yang menekankan kepada pelbagai festival yang disambut oleh masyarakat yang berbilang bangsa. Kedua-dua kempen ini menjadi pemacu ke arah mencapai sasaran ketibaan seramai 36 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion pada 2020, berdasarkan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).
Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka. Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.
Hubungi:
Unit Perhubungan Media:
Cik Azizah Aziz, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8752
Emel: azizahaziz@tourism.gov.my
Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8759
Emel: anisramli@tourism.gov.my