Jan 2, 2014

ACARA SAMBUTAN TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2014 BERMULA!

SEPANG, 1 Januari 2014 – Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, YBhg Datuk Dr. Ong Hong Peng hari ini telah menyambut ketibaan seramai 69 orang pelancong dari Beijing dan 20 orang pelancong dari Shanghai, China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai simbolik bermulanya sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Acara sambutan khas ini dianjurkan oleh Tourism Malaysia di 37 buah pintu masuk negara bagi mengalu-alukan kedatangan pelancong ke Malaysia sempena TMM 2014 yang berlangsung secara serentak di seluruh negara.

KLIA merupakan salah satu daripada 37 buah pintu masuk negara yang mengadakan acara sambutan khas tersebut. Antara pintu-pintu masuk negara yang terlibat ialah Terminal Skypark Subang, Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT), Padang Besar, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Bukit Kayu Hitam, KL Sentral, Link Kedua, Causeway, Rantau Panjang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Pusat Imigresen Sungai Tujuh di Miri dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Pelancong yang menggunakan perkhidmatan kapal pesiaran atau cruise ke Malaysia turut disambut di Port Klang Cruise Centre (PKCC), Pelabuhan Klang pada hari ini.
 
“Selain mengalu-alukan para pelancong asing yang tiba di Malaysia pada 1 Januari 2014, sambutan khas ini juga adalah untuk memastikan mereka merasai keistimewaan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2014,” kata YBhg Datuk Dr. Ong Hong Peng kepada wakil-wakil media di acara sambutan khas tersebut.

Menurut beliau, Kementerian Pelancongan  dan   Kebudayaan   Malaysia  telah  mensasarkan  28 juta ketibaan pelancong dengan anggaran pendapatan pelancongan sebanyak RM76 bilion sempena kempen TMM 2014 ini.

Acara sambutan kali ini turut dihadiri oleh dif-dif kehormat yang terdiri daripada para penggiat industri pelancongan dan ketua-ketua agensi kerajaan yang memberi sokongan menjayakan kempen TMM 2014.

Kehadiran maskot Tahun Melawat Malaysia 2014 iaitu ‘Proboscis Monkey’ turut memeriahkan acara sambutan di Balai Ketibaan KLIA dan LCCT. Penggunaan ‘Proboscis Monkey’ sebagai maskot adalah untuk menghargai dan memelihara hidupan liar di samping meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelancong asing mengenai haiwan istimewa ini dengan mengiktiraf anugerah alam semula jadi ini sebagai aset negara.

‘Proboscis Monkey’ yang jarang ditemui dipilih sebagai maskot kerana selain keunikan fizikal dan kebolehannya, spesies monyet yang hidup dalam komuniti sendiri ini juga merupakan antara spesies hampir pupus yang boleh ditemui di Kepulauan Borneo.   

Antara elemen menarik dalam acara sambutan ini adalah persembahan kebudayaan berupa tarian tradisional, permainan muzik tradisional seperti gamelan, cempuling, kompang dan lain-lain serta demonstrasi  ‘Teh Tarik’ di pintu masuk KLIA dan LCCT.

Tahun Melawat Malaysia 2014 dengan tema “Celebrating 1Malaysia Truly Asia” yang akan berlangsung kali ini menjanjikan kemeriahan yang mengagumkan dengan pelbagai acara istimewa dan menarik yang bakal disajikan sepanjang tahun.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Puan Ida Harlina Mohd Idris, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia di 03-8891 8437 atau emel idaharlina@tourism.gov.my.

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA
ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2012, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM60.6 bilion sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan ke-10 paling popular di dunia

Pada 2014, Malaysia akan menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat dengan tema “Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada tahun ini dan akan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020.            

Hubungi:
Unit Perhubungan Media:

Encik Razaidi Abd Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: razaidi@tourism.gov.my

Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: anisramli@tourism.gov.my


Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use