Mar 31, 2015

Dato' Seri Nazri YBM tp - PC Malaysia Tourism Awards 2014/2015 (Bahasa version)

TALKING POINTS
YB DATO’ SERI MOHAMED NAZRI ABDUL AZIZ
MENTERI PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN MALAYSIA

DI SIDANG MEDIA ANUGERAH PELANCONGAN MALAYSIA
2014/2015

BANGUNAN PARLIMEN, KUALA LUMPUR
31 MAC 2015, SELASA

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalammualaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

YBHG. DATUK DR. ONG HONG PENG

Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia

YBHG. DATUK RASHIDI HASBULLAH

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia

YBRS. DR. JUNAIDA LEE ABDULLAH

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia

YBHG. DATO' MIRZA MOHAMMAD TAIYAB

Ketua Pengarah Tourism Malaysia

YBHG. DATO' HAJI AZIZAN NOORDIN

Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia

Wakil-wakil media,

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan izin dan inayahNya dapat kita bersamasama hadir di sidang media Anugerah Pelancongan Malaysia 2014/2015 ini.

2. Seperti yang anda semua sedia maklum, industri pelancongan di Malaysia telah mengalami pertumbuhan pesat hanya dalam jangka waktu yang singkat. Sementara itu, Kerajaan terus memberi tumpuan terhadap pembangunan industri ini yang memainkan peranan penting dalam ekonomi negara, namun pada hakikatnya, sokongan dan komitmen para penggiat industri pelancongan tempatan dan rakan kongsi di luar negaralah yang memainkan peranan utama dalam meningkatkan profil pelancongan Malaysia.

3. Sesungguhnya, Anugerah Pelancongan Malaysia 2014/2015 ini diadakan adalah sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kami terhadap para penggiat industri pelancongan tempatan dan antarabangsa atas kecemerlangan mereka dalam membangunkan produkproduk dan perkhidmatan yang inovatif. Dianjurkan setiap dua tahun sekali, APM kali ini merupakan edisi yang ke-19.

4. Anugerah ini telah diperkenalkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan buat pertama kalinya pada 1987 dan dikenali sebagai “Anugerah Emas Pelancongan Malaysia”, tetapi ia dijenama semula sebagai “Anugerah Pelancongan Malaysia” pada 1993 bagi menggambarkan keunggulan anugerah tersebut dan juga imej korporat Tourism Malaysia.

5. Anugerah berprestij ini merupakan satu penghormatan kepada mereka yang cemerlang dan sentiasa memberi sokongan padu terhadap pembangunan pelancongan di Malaysia. Ia juga bertindak sebagai insentif bagi para peserta untuk berusaha dengan lebih keras lagi untuk mencapai tahap profesional dan kualiti yang tertinggi dalam pembangunan produk dan perkhidmatan.

6. Ia juga telah berkembang daripada program penghargaan yang hanya tertumpu kepada skop pelancong dan perjalanan sahaja kepada rangkuman keseluruhan industri perkhidmatan yang turut menghargai kepentingan pengunjung tempatan. Ia juga mengiktiraf para penggiat industri yang mampu menghasilkan idea di luar batasan bagi membangunkan produk dan perkhidmatan yang unik sekaligus menghasilkan pengalaman percutian di Malaysia yang tidak dapat dilupakan.

7. Oleh yang demikian, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa pencalonan bagi Anugerah Pelancongan Malaysia 2014/2015, kini telah dibuka. Buat pertama kalinya, anugerah ini akan mempertandingkan sebanyak 14 kategori dan 50 subkategori. Kami telah melakukan beberapa perubahan bagi memberi gambaran yang lebih baik terhadap lanskap industri pelancongan global yang terkini.

a. Dua kategori baru yang telah diperkenalkan ialah:

i. Dokumentari Pelancongan Terbaik Mengenai Malaysia – anugerah ini memberi pengiktirafan kepada penerbitan dokumentari pelancongan mengenai Malaysia yang ditayangkan dalam pelbagai medium elektronik dan dalam talian (online).

ii. Promosi Online Terbaik Mengenai Malaysia – anugerah ini memberi pengiktirafan kepada pengusaha yang mempromosikan pelancongan Malaysia secara dalam talian.

b. Kategori Pengusaha Pelancongan Antarabangsa Terbaik telah diperluaskan dari 10 kepada 18 subkategori

c. Penerbitan Pelancongan Terbaik pula tidak lagi terhad kepada majalah pelancongan sahaja. Ia turut terbuka kepada medium penerbitan lain seperti coffee table book, guide book tempatan dan antarabangsa yang membuat liputan mengenai Malaysia.

8. Ahli fraterniti pelancongan Malaysia dan antarabangsa adalah dijemput untuk menghantar pencalonan bagi 14 kategori anugerah seperti yang berikut:

a. Pengusaha Pelancongan Tempatan Terbaik

b. Pengusaha Pelancongan Antarabangsa Terbaik

c. Artikel Pelancongan Terbaik

d. Penerbitan Pelancongan Terbaik

e. Perkhidmatan Hotel Terbaik

f. Tarikan Pelancongan Terbaik

g. Pakej Pelancongan Terbaik

h. Pemandu Pelancong Terbaik

i. Pusat Beli-belah Berinovasi

j. Inap Desa/Homestay Terbaik

k. Spa Terbaik

l. Restoran Berinovasi m.Dokumentari Pelancongan Terbaik Mengenai Malaysia (Kategori Baru)

n. Promosi Online Terbaik Mengenai Malaysia (Kategori Baru)

9. Borang-borang pencalonan boleh dimuat turun melalui laman web www.motac.gov.my atau www.tourismmalaysia.gov.my. Ahli perdagangan pelancongan antarabangsa juga diminta untuk menghubungi pejabat-pejabat Tourism Malaysia di luar negara untuk maklumat lanjut mengenai serahan.

10. Tarikh tutup pencalonan ialah pada 30 Jun 2015, sementara majlis anugerah pula akan diadakan kemudian.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

11. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan mengenai prestasi industri pelancongan Malaysia bagi 2014. Sebahagian daripada anda mungkin telah mengetahui tentang jumlah keseluruhan ketibaan pelancong ke Malaysia dan pendapatan pelancongan pada tahun lepas. Namun, bagi mereka yang tiada pada sidang media saya sebelum ini, izinkan saya menyatakan di sini bahawa usaha gigih bersama para penggiat perdagangan pelancongan tempatan dan rakan kongsi kami di luar negara telah berjaya menarik seramai 27.4 juta pelancong ke Malaysia, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 6.7%. Pendapatan pelancongan pula meningkat sebanyak 10%, sekali gus menyumbang sebanyak RM72 bilion kepada pendapatan tukaran mata wang asing negara.

12. 2014 merupakan tahun yang amat mencabar buat industri pelancongan kita; namun dengan adanya peningkatan aktiviti sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, dan disertai dengan input yang kreatif, maka industri ini terus mengalami pertumbuhan meskipun dalam keadaan persekitaran yang kurang menyenangkan.

13. Dalam tahun yang sama juga, kita telah menerima beberapa pengiktirafan, antaranya ialah:

• Destinasi Pelancongan Keluarga Terbaik oleh Lonely Planet India;

• Destinasi Golf Terbaik Asia oleh Anugerah Golf Dunia; dan

• Destinasi Pelancongan Paling Mesra-Muslim.

14. Pelbagai pengiktirafan ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa bantuan dan komitmen yang diberikan oleh rakan-rakan seindustri dan rakan-rakan media di sini dan di luar negara, dan saya amat berterima kasih atas sokongan yang anda berikan selama ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

15. Akhir kalam, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada para penggiat industri di Malaysia dan di luar negara yang telah memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha untuk mempromosikan Malaysia. Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan media tempatan dan antarabangsa atas publisiti dan liputan positif yang telah mereka berikan selama ini sekaligus membantu meletakkan Malaysia sebagai salah sebuah destinasi pelancongan yang unggul di persada dunia. Sesungguhnya, tanpa usaha pelbagai pihak ini, pastinya sukar untuk kami memastikan industri pelancongan Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh seperti sekarang ini.

16. Saya berharap agar usaha gigih bersama anda semua dalam mempromosikan Malaysia akan dapat diteruskan. Tahun ini yang merupakan Tahun Festival Malaysia, dan tahun-tahun yang berikutnya adalah amat kritikal buat kami kerana perlu berusaha untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan di bawah Pelan Transformasi Pelancongan iaitu jumlah ketibaan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020.

17. Saya menyeru kepada para penggiat industri pelancongan untuk terus bekerja dengan semangat yang inovatif dan kreatif, serta terus berusaha untuk mencipta pengalaman percutian di Malaysia yang unik serta dapat memenuhi jangkaan pelanggan. Saya berharap agar para penggiat industri akan terus berusaha keras untuk menawarkan layanan dan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelawat dan pelancong yang mengunjungi negara kita.

Sekian, saya sudahi dengan Wabillahitaufik Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use