Jun 4, 2013

KUANTAN CENTURY RIDE 2013 (KUANTAN 160) CUBA CATAT REKOD DALAM BUKU REKOD MALAYSIA

KUANTAN, 2 JUN 2013: Bersempena dengan promosi Tahun Melawat Malaysia 2014, Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Pahang telah bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang dan Persatuan Berbasikal Pahang untuk menganjurkan acara berbasikal terbesar di Pantai Timur iaitu Kuantan Century Ride atau Kuantan 160 di sini, hari ini.

Seramai 1,839 para peminat tegar aktiviti berbasikal termasuk 534 peserta dari 28 buah negara seperti Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Denmark, Filipina, Hong Kong, Iceland, India, Indonesia, Ireland, Itali, Jerman, Kanada, Korea Selatan, Perancis, Romania, Sepanyol, Singapura, Thailand, New Zealand, Norway dan United Kingdom telah menyertai acara berbasikal ini yang diharapkan dapat mencatatkan rekod sebagai kayuhan basikal terbesar dalam Buku Rekod Malaysia.

Acara ini telah dianjurkan buat kali kedua bersandarkan kepada sambutan hangat yang diberikan oleh para peminat tegar aktiviti berbasikal tempatan dan luar negara terhadap edisi pertama Kuantan Century Ride pada tahun 2012. Acara yang lebih dikenali sebagai Kuantan 160 ini adalah kesinambungan daripada  program berbasikal Pahang Bicycle Mania yang merupakan salah satu ikon pelancongan negeri Pahang.

Kuantan 160 ialah aktiviti berbasikal yang berkonsepkan kayuhan santai secara beramai-ramai  sejauh 160 kilometer melalui pelbagai kawasan pelancongan menarik yang terdapat di sekitar Kuantan dengan melalui kawasan bandar, merentasi bukit bukau, homestay, melintasi kawasan air terjun, kawasan warisan sejarah serta kawasan pantai dan pusat peranginan. Selain itu, kayuhan ini juga berkonsepkan by riders for riders di mana sebahagian besar ahli jawatankuasa dan petugas adalah terdiri daripada pengayuh basikal dari seluruh Kuantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsuddin telah melepaskan para peserta seawal 7.30 pagi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia cawangan Indera Mahkota (UIAM). Para peserta kemudiannya meneruskan kayuhan mereka dengan melalui bandar Kuantan, Tanjung Lumpur, Pantai Sepat, Cherok, Paloh, Ubai sebelum berpatah balik ke UIAM.

Para peserta yang bertuah telah memenangi pelbagai hadiah menarik melalui acara cabutan bertuah yang menawarkan barangan Power Bar, peralatan elektrik, peralatan basikal dan pakej-pakej penginapan.

Acara Kuantan 160 ini telah mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) di bawah program Cycling For All (CFA) dan disokong oleh Sekretariat Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pihak penganjur turut menjalinkan perkongsian pintar dengan pelbagai pihak penaja seperti Hotel MS Garden sebagai hotel rasmi, Power Bar (penaja gel tenaga rasmi), 100 Plus (minuman isotonik rasmi), majalah Gaya Travel dan Santai (majalah pelancongan rasmi), Cycling Malaysia (majalah basikal rasmi) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sebagai lokasi rasmi.

Selain itu, acara ini turut mendapat kerjasama pelbagai organisasi kerajaan, sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan seperti Tourism Malaysia, Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser, Majlis Perbandaran Kuantan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kerja Raya Pahang, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Kolej Universiti Shahputra, Universiti Malaysia Pahang, Kelab Jurufoto Kuantan dan Kelab-kelab Basikal Kuantan.

Maklumat lanjut mengenai acara ini boleh didapati di laman web rasmi Kuantan 160 iaitu www.kuantan160.asia.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Encik Mohd Izazi Ismail, Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Pahang di talian 09-517 1111 atau emel izazi@motour.gov.my.

 

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Peranan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan ialah melaksanakan dasar-dasar berkaitan pelancongan, menjalankan penyelidikan serta menawarkan insentif kepada para penggiat industri pelancongan manakala Tourism Malaysia pula bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa.

Didorong oleh aspirasi untuk mempromosikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang unggul di rantau ini, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya sejak penubuhannya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam landskap sosioekonomi negara. Pada 2012, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM60.6 bilion.

Pada 2014, Malaysia akan menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat dengan tema “Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada tahun ini dan akan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020.           

Hubungi:
Unit Perhubungan Media:

Encik Razaidi Abd Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel:
razaidi@tourism.gov.my

Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel:
anisramli@tourism.gov.my

 

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use