TOURISM MALAYSIA PERKUKUH LIBAT URUS INDUSTRI PELANCONGAN MENUJU TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026
PORT DICKSON, 13 Mac 2025 – Tourism Malaysia meneruskan usaha memperkukuh kerjasama dengan penggiat industri pelancongan menerusi Sesi Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Tahun Melawat Malaysia (TMM2026) yang berlangsung di Lexis Hibiscus, Port Dickson, Negeri Sembilan, hari ini.
Program ini merupakan kesinambungan sesi pertama yang telah diadakan di Petaling Jaya pada Januari lalu, susulan pelancaran rasmi logo, lagu, video promosi, dan maskot TMM2026. Inisiatif ini bertujuan memperkukuh hala tuju industri pelancongan negara serta membina momentum dalam mencapai sasaran nasional menjelang TMM2026.
Dirasmikan oleh YB. Puan Nicole Tan Lee Koon, EXCO Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, sesi ini turut disertai oleh wakil agensi kerajaan, persatuan pelancongan, syarikat penerbangan, pengusaha hotel, pengendali produk pelancongan, dan ejen pelancongan tempatan untuk membincangkan strategi industri serta memperkukuh kerjasama dalam menjayakan TMM2026.
Menurut YBhg. Dato’ Shaharuddin, kerjasama erat antara sektor kerajaan dan swasta amat penting dalam memastikan Negeri Sembilan terus berkembang sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia. Pihak industri perlu bersedia untuk mengambil peluang menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan oleh kerajaan bagi menjayakan TMM2026.
“Dalam usaha memperkukuh sektor pelancongan, MOTAC telah memperuntukkan RM130 juta bagi menyokong inisiatif ketersambungan udara melalui Geran Sektor Penerbangan dan Charter (GSPC), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP), serta Galakan Melancong (GAMELAN). Kerjasama erat dengan Malaysia Airports Holdings
Berhad (MAHB), syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa akan diteruskan bagi membuka laluan baharu dan meningkatkan kapasiti penerbangan dari pasaran utama seperti Asia Barat, China, India, dan Asia Tengah,” katanya.
Turut hadir dalam sesi ini ialah YB Puan Nicole Tan Lee Koon, Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, YBhg. Datuk Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah, Tourism Malaysia serta wakil-wakil industri pelancongan negeri.
Sesi ini merangkumi pembentangan mengenai inisiatif promosi TMM2026, perbincangan industri serta sesi Business-to-Business (B2B) bagi membuka lebih banyak peluang kolaborasi antara penggiat industri pelancongan tempatan.
Pada tahun 2024, Malaysia mencatat 38 juta ketibaan pelawat, meningkat sebanyak 31.1% berbanding 2023. Sepuluh pasaran utama adalah Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Filipina, Korea Selatan, Australia, dan Taiwan. Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, Malaysia mensasarkan 45 juta ketibaan pelancong dengan jangkaan sebanyak RM270 bilion hasil pelancongan.
TAMAT
Tourism Malaysia
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, X, YouTube, dan TikTok.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Nurazah Jalaludin
Timbalan Pengarah
Sekretariat Visit Malaysia 2026
nurazah@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8731
Norshariza Mohd Saad
Timbalan Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
norshariza@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8775