Jul 24, 2025

“REFRESHING LANGKAWI 99 MAGICAL ISLAND” KEMBALI SEMPENA VM2026

LANGKAWI, 24 Julai 2025 – Tourism Malaysia Wilayah Utara, menerusi Pusat Penerangan Pelancongan Langkawi, telah membangunkan edisi kedua pakej “Refreshing Langkawi 99 Magical Island: Vibes & Healing” sebagai sebahagian daripada pendekatan baharu dalam memperkenal pengalaman pelancongan yang lebih santai dan menenangkan.

Seiring dengan permintaan terhadap konsep healing tourism yang kini semakin popular, program ini dianjurkan bersempena kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) dan Tahun Melawat Kedah 2025, dengan matlamat mengukuhkan kedudukan Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama negara.

Program ini telah berlangsung pada 21 hingga 24 Julai 2025 melibatkan penyertaan daripada lapan (8) pempengaruh media serta empat (4) wakil agensi pelancongan yang diberi peluang merasai sendiri pengalaman pakej pelancongan berasaskan elemen vibes & healing.

Menurut Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Encik Abdul Hadi Che Man, “Program ini merupakan usaha strategik yang dilaksanakan untuk memastikan Langkawi kekal relevan dan kompetitif sebagai destinasi pilihan pelawat domestik dan antarabangsa. Selain keindahan semula jadi yang menjadi tarikan utama, Langkawi kini menawarkan pengalaman pelancongan berteraskan ketenangan, gaya hidup santai serta healing, sejajar dengan tema VM2026 iaitu Surreal Experience.”

Pakej ini dibangunkan bermula dengan harga serendah RM500 untuk penginapan 3 hari 2 malam, merangkumi pelbagai aktiviti menarik seperti lawatan ke Dream Forest Langkawi, jelajah jet ski, buggy tour, kunjungan ke komuniti Pulau Tuba serta aktiviti berteraskan seni dan budaya di Balai Seni Negara cawangan Langkawi. Aktiviti menarik lain antaranya, menangkap beronok dan ketam, menikmati panorama matahari terbenam, serta menyaksikan pemandangan indah dari Maha Tower.

Elemen ‘Vibes & Healing’ yang diperkenalkan melalui program ini merupakan satu cabang di bawah pelancongan kesihatan (wellness tourism) yang bukan sahaja memberi fokus kepada kecergasan fizikal, malah merangkumi aspek kesejahteraan mental dan emosi.

Aktiviti-aktiviti yang dirangka menumpukan kepada kesejahteraan menyeluruh, dengan gabungan pengalaman alam semula jadi, seni budaya, dan gaya hidup sihat, sejajar dengan aspirasi pelancongan lestari yang mementingkan nilai kesejahteraan.

Program ini turut mendapat sokongan daripada rakan strategik iaitu Syarikat Penerbangan AirAsia, The Dash Resort Langkawi, Dream Forest Langkawi, Iqram Jet Ski Tour, Koperasi Komuniti Pulau Tuba, Tuba Beach Resorts, MAHA Tower, serta Balai Seni Negara cawangan Langkawi.

Seiring dengan persiapan menuju VM2026, Tourism Malaysia terus memperkukuh usaha promosi pelancongan secara inklusif melalui kerjasama strategik bersama rakan-rakan industri, bagi merancakkan pertumbuhan sektor pelancongan negara. Bagi tahun ini, Malaysia menyasarkan 43 juta ketibaan pelawat dengan perbelanjaan pelancongan sebanyak RM283.8 bilion.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, X, YouTube, dan TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Alwi Shakir Abdullah
Pengurus
Pusat Penerangan Pelancongan Langkawi
[email protected]
Tel: +604 966 966 8727

Norshariza Mohd Saad
Timbalan Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
[email protected]
Tel: +603 8891 8775

Related Photos

© 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All rights reserved.
Privacy Policy | Sitemap | Last updated: 16 August 2025