Feb 20, 2014

LEBIH DARIPADA 1,000 PAKEJ PELANCONGAN BARU MENANTI PELANCONG KE MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 18 Februari 2014 – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Dato’ Seri Mohamed Nazri Tun Abdul Aziz telah melancarkan sebuah risalah yang mempromosikan lebih daripada seribu pakej pelancongan di Saloma Bistro, Jalan Ampang, di sini, hari ini. Risalah Pakej Pelancongan 1001 Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) tersebut telah diterbitkan oleh Tourism Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

“Penerbitan risalah tersebut adalah bertepatan sekali kerana Malaysia sedang menyambut  edisi keempat TMM 2014. Saya berharap agar pelancong domestik dan antarabangsa boleh menjadikan risalah tersebut sebagai panduan dalam memilih destinasi dan segmen pelancongan yang mereka minati,” kata Dato’ Seri Mohamed  Nazri.

“Risalah ini boleh dijadikan medium untuk mempromosikan kepelbagaian destinasi dan produk pelancongan negara selain menggalakkan percutian secara terancang dalam kalangan pelancong domestik dan antarabangsa,” sambung beliau.

Risalah tersebut mengandungi sebanyak 1,030 pakej pelancongan dan telah dibangunkan dengan kerjasama 297 para pengusaha pelancongan dari seluruh negara. Pakej-pakej pelancongan tersebut dikategorikan mengikut negeri dan segmen bagi memudahkan para pelancong untuk mengenalpasti destinasi percutian mengikut kecenderungan minat mereka.

Antara segmen yang ditawarkan termasuklah Eco-tourism, Adventure & Nature, Sports Tourism, Voluntourism,  Health Tourism, Education Tourism, Island & Beaches, Honeymoon, Spa & Wellness, Cruise, Angling, Bird Watching,  Cycling,  “Qurban & Aqiqah”, Homestay, Fabulous Food,  Heritage , Arts & Culture,  Theme Park, Team Building, Luxury Tour, Parks & Gardens dan lain-lain.

Pakej-pakej pelancongan ini menawarkan pelbagai percutían menarik dan unik dari setiap negeri. Antara aktiviti unik yang ditawarkan ialah “Hungry Ghost Experience” dan “George Town Shoemaking Class”    di Pulau Pinang yang memberi peluang kepada para pelancong untuk menyaksikan sendiri adat resam masyarakat Tionghua meraikan bulan Hantu Lapar serta mempelajari seni membuat kasut.

Pakej-pakej pelancongan 1001 CC1M yang ditawarkan mempunyai pelbagai tingkat harga yang mampu memenuhi bajet para pelancong. Pakej-pakej yang ditawarkan ini sah sehinga 31 Disember 2014.

Risalah berkenaan boleh didapati di Pejabat-pejabat Tourism Malaysia Negeri dan Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) di seluruh negara serta di pameran-pameran pelancongan yang disertai oleh Tourism Malaysia. Ia juga boleh dilayari di laman web www.tourismmalaysia.gov.my.

Tahun Melawat Malaysia 2014 yang bertemakan “Celebrating 1Malaysia Truly Asia” ini dipenuhi lebih dari 200 acara dan festival bagi memastikan kejayaan negara dalam mencapai sasaran ketibaan pelancong seramai 28 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Encik Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia di 03-8891 8414 atau emel mohdamirul@tourism.gov.my.

-TAMAT-

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2012, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM60.6 bilion sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan ke-10 paling popular di dunia

Pada 2014, Malaysia akan menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat dengan tema “Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada tahun ini dan akan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020.            

Hubungi:
Unit Perhubungan Media:

Encik Razaidi Abd Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: razaidi@tourism.gov.my

Unit Editorial:

Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use