Feb 25, 2014

KEMPEN TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2014 BERSAMA FIREFLY DI AWAN BIRU

 KOTA BHARU, 24 Februari 2014 – Tourism Malaysia dan Firefly telah bekerjasama untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 di rantau ini melalui paparan pengiklanan pada pesawat Firefly yang telah dilancarkan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Dato’ Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz, di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini, hari ini.

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Firefly untuk meluaskan lagi promosi kempen TMM 2014 di pasaran domestik dan negara-negara ASEAN yang lain,” kata Dato’ Seri Mohamed Nazri.

Kempen pengiklanan yang dijalankan selama setahun ini merangkumi paparan logo TMM dan tema “Celebrating 1Malaysia Truly Asia” di bahagian luar badan 12 buah pesawat Firefly jenis ATR 72-600.

Sementara itu, bahagian dalam pesawat dihiasi dengan gambar-gambar tarikan pelancongan di Malaysia seperti kebudayaan dan makanan, pantai-pantai peranginan, dan destinasi ekopelancongan.

Logo TMM juga dipaparkan pada dinding kabin di bahagian depan dan belakang pesawat manakala risalah kalendar pelancongan utama Tourism Malaysia diletakkan di poket tempat duduk penumpang.

Syarikat penerbangan komuniti Firefly menerbangkan seramai 126,000 penumpang setiap bulan dan kempen pengiklanan ini dijangka akan dapat disebarkan kepada seramai 1.5 juta penumpang setahun menerusi penerbangan di Malaysia, Singapura, Thailand, dan Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif Firefly Ignatius Ong berkata, “Kami gembira kerana dapat sama-sama menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2014. Firefly memberi perkhidmatan kepada pasaran yang khusus dan memenuhi kehendak pelancong dalam dan luar negara daripada segi laluan penerbangan dan tambang yang murah. Kami percaya bahawa pelancaran kempen pengiklanan Tahun Melawat Malaysia 2014 pada pesawat turboprop kami pastinya akan dapat membantu memenuhi agenda kerajaan untuk meningkatkan kedatangan pelancong sekaligus merangsang pertumbuhan industri pelancongan negara”.

Kempen pengiklanan TMM 2014 bersama-sama Firefly merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama sejajar dengan Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia yang mensasarkan kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion pada tahun 2020.

-TAMAT-

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2012, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM60.6 bilion sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan ke-10 paling popular di dunia

Pada 2014, Malaysia akan menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat dengan tema “Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada tahun ini dan akan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020.            

Hubungi:
Unit Perhubungan Media:

Encik Razaidi Abd Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: razaidi@tourism.gov.my

Unit Editorial:

Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: anisramli@tourism.gov.my


Mengenai Firefly    


Firefly, Syarikat Penerbangan Premium Jarak Sederhana Malaysia telah memulakan operasinya pada 2007. Pada masa ini, ia mengendalikan 12 pesawat ATR 72-500 dan 1 ATR 72-600 turboprop dari Pulau Pinang dan Subang, menghubungkan destinasi sekunder dalam lingkungan kawasan pertumbuhan segi tiga Indonesia-Malaysia-Thailand serta menyediakan hubungan udara antara Malaysia dan Singapura. Firefly menyediakan perkhidmatan yang terbaik, bernilai tinggi dan masa penerbangan yang bersesuaian kepada para penumpangnya. Para penumpang pesawat ATR 72-500 dan 1 ATR 72-600 dapat menikmati elaun bagasi yang sudah didaftar masuk seberat 20kg, hidangan makanan, tempat duduk yang telah ditetapkan dan lokasi lapangan terbang dalam bandar yang memudahkan.

Firefly telah menerima pelbagai anugerah dan penghargaan. Firefly telah menerima anugerah Jenama Harapan Terbaik Putra daripada Jenama Putra pada 24 April 2012. Lima bulan sebelum itu iaitu pada 15 November 2011, Firefly telah dianugerahkan status Superbrands. Anugerah-anugerah lain termasuklah anugerah Penerbangan Nilai Terbaik Frost & Sullivan pada 2010, dan anugerah Inisiatif Hijau 2010 oleh Leaders in Aviation bersempena dengan Doha Aviation Summit. Firefly juga telah menerima anugerah Jenama Terbaik dalam Penerbangan dari Jenama Laureate. Firefly berhubung dengan dunia melalui Facebook, Twitter dan Instagram.

    

    

                                

 

                                 

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use