Mar 14, 2019

TOURISM MALAYSIA TRAVEL MART 2019



KUALA LUMPUR, 14 MAC 2019
– Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi telah merasmikan program Tourism Malaysia Travel Mart 2019 yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia di Hotel Seri Pacific, di sini, hari ini.

Program sehari yang diadakan bersempena dengan pameran MATTA Fair 2019 yang akan berlangsung dari 15 hingga 17 Mac ini bertujuan menemukan pengusaha pelancongan dengan pengusaha produk dan hotel di bawah satu bumbung bagi mendapatkan pelbagai pilihan pakej pelancongan domestik.

Program Tourism Malaysia Travel Mart 2019 yang berkonsepkan Business to Business atau B2B ini melibatkan pertemuan dua hala antara pengusaha produk dan hotel dari setiap negeri dengan pembeli berpotensi yang terdiri daripada para pengusaha pelancongan yang terlibat dengan pameran MATTA Fair 2019.

Datuk Mohamaddin Ketapi dalam ucapannya berkata bahawa program tersebut dapat mengukuhkan hubungan kerjasama selain mewujudkan jaringan perniagaan antara para penggiat industri pelancongan yang menyertai program ini.

”Di samping itu, program Tourism Malaysia Travel Mart ini dapat memberi galakan kepada pertumbuhan sektor pelancongan domestik, sekali gus menjana pendapatan industri pelancongan negara,” sambung beliau lagi.

Menurut beliau, kerjasama daripada wakil-wakil industri pelancongan amatlah diperlukan terutamanya dalam menghasilkan pakej-pakej pelancongan yang menarik dan kreatif kerana ia boleh membantu merancakkan lagi sambutan Visit Malaysia 2020.

Seramai lebih kurang 200 buyers dan 60 sellers dari seluruh negara telah menyertai program ini. Bagi program kali ini, pihak penganjur telah menganggarkan pulangan kontrak jualan sebanyak RM1 juta.

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.9 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Hubungi:

Unit Promosi

Mohd Amirul Rizal Abd Rahim, Timbalan Pengarah, Bahagian Domestik & Acara
Tel: +603-8891 8414
Emel: mohdamirul@tourism.gov.my

Unit Media

Encik Muadz Samat, Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8755
Emel: muadz@tourism.gov.my

Related Photos

Copyright © 2018 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use