Apr 23, 2021

TAWARAN MENARIK PAKEJ CUTI PENJAWAT AWAM SABAH DAN LABUAN - BAGUS BAINI!

TUARAN, 23 April 2021 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui agensinya, Tourism Malaysia hari ini melancarkan Pakej Cuti Penjawat Awam Sabah dan Labuan - Bagus Baini! dalam usaha untuk menyemarakkan pelancongan domestik. Program ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan pelancaran Pakej Istimewa Penjawat Awam di Kuala Lumpur, juga anjuran Tourism Malaysia pada 3 September 2020 yang lalu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri yang hadir melancarkan pakej berkenaan di Kota Kinabalu, Sabah berkata, ia turut dipanjangkan kepada para pesara kerajaan seperti pakej sebelum ini dengan memfokuskan kepada produk-produk pelancongan sekitar daerah di Sabah dan Labuan. Sebanyak 88 pakej pelancongan ditawarkan oleh 37 agensi pelancongan, 22 hotel serta 5 produk pelancongan yang mengambil bahagian bagi mempromosikan pakej percutian 2 hari 1 malam, 3 hari 2 malam, dan 4 hari 3 malam, dengan melibatkan hotel bertaraf 5, 4 dan 3 bintang serta hotel bajet di sekitar Kota Kinabalu, Papar, Beaufort, Tambunan, Tenom, Tuaran, Kudat, Kota Marudu, Tamparuli, Ranau, Sandakan, Tawau, Semporna dan Labuan.

Pakej yang menawarkan tawaran istimewa dengan diskaun eksklusif buat penjawat awam dan pesara serta keluarga ini bertujuan menghargai khidmat bakti mereka ketika negara dibelenggu pandemik Covid-19.

Selain tawaran penginapan, penjawat awam dan pesara juga boleh menikmati pakej produk-produk pelancongan menarik untuk kunjungan harian dengan penawaran diskaun harga tiket masuk sehingga 20 peratus. Antara produk pelancongan yang tersenarai ialah Mari Mari Cultural Village dan Muzium Lotud di Tuaran, Rumah Terbalik dan 3D Wonder Museum, Walai Tobilung di Kota Marudu dan Rimbun Stingless Bee Farm di Labuan. Tempoh sah laku pakej adalah sehingga 31 Disember 2021.

Pakej Cuti Penjawat Awam Sabah dan Labuan - Bagus Baini! telah dibangunkan oleh Tourism Malaysia dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sabah Chapter, Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Sabah Tourist Association (STA), Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA), MASwing dan agensi-agensi pelancongan terlibat serta Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS),” jelas YB Dato’ Sri Hajah Nancy.

Tambah beliau, kerjasama dengan CUEPACS dilihat sebagai platform terbaik untuk mendekati kumpulan sasaran bagi membantu pemain industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19, memandangkan kongres ini merupakan gabungan kesatuan mewakili penjawat awam di Malaysia dengan keahlian seramai 1.2 juta daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam terdiri daripada pelbagai agensi dan sektor kerajaan.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy menyeru kepada seluruh penjawat awam dan pesara agar merebut peluang keemasan ini untuk melancong secara bertanggungjawab dengan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan pengamalan norma baharu. Penjawat awam boleh mendapatkan tawaran pakej ini dengan hanya menggunakan pas pekerja mereka di agensi-agensi pelancongan terpilih. Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang Tourism Malaysia https://www.malaysia.travel/deals-packages serta di laman Facebook Tourism Malaysia Sabah.


Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada tahun 2019, Malaysia menerima 26.1 juta pelancong antarabangsa dan mencatatkan RM86.14 bilion perbelanjaan pelancong, sekaligus meletakkan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan terunggul di dunia.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Unit Media Tourism Malaysia

Muadz Samat

Penolong Pengarah

Bahagian Komunikasi Korporat

muadz@tourism.gov.my

Tel: +603 8891 8755

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use