Semakin banyak kelab pelayaran dan marina dibina di seluruh negara yang membolehkan anda memperbaiki kapal layar dan membawanya mengelilingi perairan negara ini.
Malaysia yang terletak di utara Khatulistiwa menikmati cuaca panas dan lembab sepanjang tahun. Angin monsun timur laut bertiup mulai bulan November hingga Mac di pesisiran pantai Timur Semenanjung serta di Sarawak dan Sabah.
Angin monsun barat laut bertiup di antara bulan April hingga Oktober. Pada kebiasaannya, para pelayar akan belayar ke arah barat sewaktu monsun timur laut dan ke arah timur sewaktu monsun barat laut.
Malaysia bukan lagi menjadi tempat persinggahan pelayar malah kini telah menjadi laluan penting pelayaran di Asia. Dari aspek sejarah, ia pernah menjadi pusat perdagangan maritim dan ini masih diteruskan sehingga ke hari ini. Perairan Selat Melaka turut menjadi laluan utama pelayar dari Australia,Thailand, Afrika dan Eropah.
Pesisiran pantai timur juga mempunyai pulau-pulau yang menarik untuk persinggahan, bersantai, menyelam dan juga mendapatkan barang-barang keperluan. Pelabuhan utama di sini ialah Mersing, Kuantan, Kuala Dungun, Marang, Kuala Terengganu manakala Pulau Tioman, Perhentian, Redang dan Kapas turut menawarkan kemudahan perkhidmatan asas.
Bahagian timur Malaysia menjadi semakin popular untuk pelayaran dan perhentian bagi pelayar dari negara asing. Mereka yang tiba di Sabah dari utara boleh berlayar ke barat melalui pesisiran pantai dan berhenti di beberapa destinasi menarik sebelum meneruskan perjalanan ke Semenanjung Malaysia.
Tips
Para pelayar yang baru tiba di sini perlu mendaftar di mana-mana pelabuhan yang dilawati. Mereka akan disambut dengan mesra oleh pegawai yang bertanggungjawab di pelabuhan tersebut. Pelayar tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris di sini dan urusan pendaftaran adalah mudah. Setibanya di Malaysia, para pelayar perlu berkunjung ke Jabatan Imigresen, Jabatan Marin, Jabatan Kastam dan Jabatan Kesihatan (sekiranya ada keperluan untuk perlaksanaan kuarantin) serta Syahbandar. Mereka perlu membawa kesemua pasport anak kapal, salinan asal surat pendaftaran pemilikan bot, cap kapal layar (jika ada) dan borang kebenaran belayar dari pelabuhan terakhir yang dilawati sebelum tiba di sini.