Malaysia terletak di Asia Tenggara, iaitu sebuah negara yang terbahagi kepada 13 buah negeri dan tiga Wilayah Persekutuan. Laut China Selatan memisahkan antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, dengan 11 buah negeri dan dua Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya) di Semenanjung Malaysia dan dua buah negeri dan satu Wilayah Persekutuan (Labuan) di Malaysia Timur, di kepulauan Borneo.

Terdapat banyak tempat bersejarah di Malaysia, seperti di sekitar Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Melaka dan Kuching yang menjadi saksi kewujudan kegemilangan pemerintahan kerajaan zaman lampau serta era penjajahan kolonial. Sekaligus, menjadikan Malaysia negara yang cukup unik dengan tinggalan sejarah, budaya, mercu tanda serta perayaan yang menjadi identiti bangsa sehingga ke hari ini.

Melaka adalah salah satu kerajaan kesultanan Melayu yang terawal di negara ini, pernah dijajah oleh Portugis pada tahun 1511 dan Belanda pada tahun 1641. Setelah menubuhkan pangkalan di Pulau Pinang, Singapura, Melaka, Jesselton (Kota Kinabalu), dan Kuching, British berjaya menguasai rantau ini dari abad ke-19 dan seterusnya.

Pemerintahan British runtuh apabila Jepun menyerang Malaya semasa Perang Dunia Kedua. Tempoh dari 1942 hingga 1945 menyaksikan semangat nasionalisme bangkit di negara ini. Keadaan ini berterusan selepas Perang Dunia dan selepas pendudukan Jepun berakhir. Negara, ketika itu dipanggil Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun 1957.

Wilayah-wilayah jajahan British di Borneo Utara mencapai kemerdekaan pada tahun 1963, dan sejajar dengan negeri-negeri di Semenanjung dan Singapura untuk membentuk Malaysia pada 16 September 1963. Walau bagaimanapun, pertikaian antara parti pemerintah Malaysia dan Singapura menyebabkan pemisahan Singapura dari Malaysia pada tahun 1965.

Tips Penting

  • Seni bina bangunan-bangunan lama sering menunjukkan petanda yang tersirat tentang sejarah tempatan. Sebagai contoh, rumah bandar yang sempit di sepanjang Jalan Tan Cheng Lock (dahulu dikenali dengan Heeren Street) di Melaka dibina dengan bijak untuk menyembunyikan pelan bangunan yang luas sehingga 20-30 meter. Ini adalah kerana rumah-rumah Melaka yang dibina semasa era Belanda dikenakan cukai berdasarkan kelebaran bahagian hadapan sesebuah bangunan yang menghadap jalan, menyebabkan bangunan dijadikan sempit tetapi sangat panjang. Untuk lawatan ke rumah-rumah ini, kunjungilah No. 8 Heeren Street, Pusat Warisan, Melaka.

  • Pastikan berusaha mencari memorial perang yang bertaburan di seluruh negara, seperti Rumah Api Tumpat.

Tempat Untuk Dikunjungi