Perayaan

Masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa menyerikan kalendar dengan berbagai perayaan disambut tiap tahun untuk dinikmati dan diraikan bersama pelancong dan rakyat tempatan.

Orang Islam di Malaysia menyambut Hari Raya atau Aidil Fitri tiap-tiap tahun. Hari Raya menandakan selesainya ibadah puasa yang dilakukan dari terbit fajar hingga terbenam matahari tiap-tiap hari selama sebulan dalam bulan Ramadhan yang mulia. Hari Raya pertama dimulakan dengan bersolat di masjid diikuti dengan menziarahi kubur orang tersayang. Ramai keluarga orang Islam mengadakan rumah terbuka untuk menyambut Hari Raya dengan menghidangkan makanan yang lazat.

Masyarakat Cina menyambut Tahun Baru Cina dengan membakar mercun dan mengenakan pakaian berwarna merah. Bunyi yang kuat adalah untuk menghindarkan nasib buruk sepanjang tahun. Mereka yang berminat berkunjung juga boleh menyaksikan tarian singa dan tarian naga turut dipersembahkan semasa sambutan.

Cahaya tidak akan pudar sepanjang tahun, dengan sambutan Pesta Cahaya, Deapavali oleh Masyarakat Hindu di Malaysia. Perayaan ini disambut untuk meraikan kemenangan cahaya ke atas kegelapan, kebaikan ke atas kejahatan dan pengetahuan ke atas kecetekan ilmu. Semua rumah masyarakat Hindu menyalakan lampu minyak tanah di sepanjang pesta. Lampu tersebut dikatakan akan membantu tuhan Lakshmi untuk sampai ke rumah mereka yang meraikannya.

Thaipusam adalah acara yang serinngkali menjadi tumpuan jurugambar. Pada hari tersebut, penganut agama Hindu akan mengunjungi kuil Murugan terdekat, yang paling popular adalah Kuil Batu Caves di Selangor. Anda akan dapat melihat penganut membawa 'kavadi' sebagai penebus dosa, berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, menusuk diri mereka atau berjalan di atas arang yang panas tanpa merasa kesakitan suatu pengalaman yang baru bagi kepada mereka yang tidak pernah melihatnya.

Pesta lain yang disambut di Malaysia adalah Hari Wesak yang diraikan penganut Buddha, Pesta Hantu oleh masyarakat Cina dan Hari Krismas oleh penganut Kristian. Di Malaysia Timur, Pesta Menuai atau Kaamatan diraikan di Sabah sementara Hari Gawai disambut oleh kaum Dayak di Sarawak.

Walaupun bukan pesta keagamaan, Pesta Muzik Hutan Hujan Sedunia yang diadakan setiap tahun di Kuching, Sarawak menjadi tarikan utama pelancong. Berlatar belakangkan hutan hujan yang tebal dan bunyian alam semulajadi, peminat muzik berkumpul untuk mendengarkan irama dari serata pelusuk dunia.

Tips Penting

  • Semak senarai acara untuk memastikan pesta atau sambutan yang sedang berlangsung semasa lawatan anda. Ini kerana kemungkinan ada tempat tarikan pelancongan yang mungkin ditutup semasa cuti umum yang panjang.

  • Buat tempahan hotel dan perjalanan awal untuk ke destinasi popular dan pesta yang tertentu, seperti Pulau Pinang semasa Tahun Baru Cina atau Kuching untuk Pesta Muzik Hutan Hujan Sedunia.

  • Lebuhraya akan mengalami kesesakan kerana ramai orang akan balik ke kampung untuk meraikan perayaan bersama keluarga mereka. Oleh itu sekiranya merancang perjalanan antara negeri, sila ambil kira faktor tambahan masa dalam perjalanan anda.