Seni dan kraf di Malaysia berwarna-warni dan berharga sama seperti latar belakang negara yang berbilang budaya. Penggiat seni di Malaysia menggunakan berbagai media untuk meluahkan perasaan mereka dari pakaian ke layang-layang. Seni dan kraf Malaysia yang terkenal di peringkat antarabangsa termasuklah kain sarung dan produk pewter Royal Selangor.

Cenderahati yang popular untuk dibawa pulang dari pantai timur seperti Terengganu and Kelantan ialah batik. Diperbuat secara tradisional dengan teknik fabrik pewarna tangan, batik juga dikaitkan dengan fabrik hiasan bercetak dihiasi dengan motif batik klasik. Fabrik lain yang popular di Malaysia, ialah songket, dibuat dengan tenunan benang emas dan perak bersama-sama dengan benang fabrik untuk mencipta rekaan yang halus buatannya.

Sebahagian kain mempunyai kepentingan agama yang mendalam. Proses menenun pua kumbu (kain keramat untuk upacara keagamaan), sebagai contoh, melambangkan semangat dan kepentingan sosio-agama bagi wanita Iban di Sarawak.

Satu lagi kraftangan yang popular adalah labu sayong, balang tanah liat berbentuk labu yang bewarna hitam dan berkilat. Setiap labu mengambil masa beberapa hari untuk proses pembentukan, pembakaran dan ukiran. Yang paling asli boleh ditemui di Kampung Sayong di Perak.

Jika anda ke Kelantan, sebuah negeri di pantai timur, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kesenian rakyat yang semakin dipinggirkan iaitu wayang kulit (shadow puppet). Tontoni kemahiran Tok Dalang menggunakan patung-patung yang diperbuat dari kulit lembu atau kerbau menjadi watak-watak dari hikayat Ramayana dan Mahabharata sambil diringi oleh muzik tradisional gamelan secara langsung.

Apabila anda berada di Pantai Timur, cuba cari layang-layang besar dan berwarna-warni yang dipanggil 'wau'. Rangka layang-layang dibuat daripada buluh sementara motif dan corak dilekatkan dengan cermat sekeping demi sekeping, dengan kertas.

Selain dari kraftangan, kesenian kontemporari Malaysia sekarang ini telah beralih tumpuan dan menjadi topik perbualan ramai. Dilihat sebagai dinamik dan relevan, hasil kerja seni kontemporari Malaysia telah dijual dengan harga yang sangat tinggi di luar negara, sekaligus menjadikan karya seni artis Malaysia semakin dihargai di peringkat antarabangsa.

Tips Penting

  • Saksikan persembahan kesenian Malaysia yang hebat. Sila semak jadual di tempat-tempat seperti Istana Budaya, KL Performing Arts (KLPAC) dan Galeri Annexe semasa menginap di sini.

  • Jika anda ingin membeli cenderahati buatan tangan tetapi kesuntukan masa, kunjungi Pasar Seni di Kuala Lumpur. Terdapat banyak gerai seni dan kraf untuk anda membuat pilihan dari kraftangan yang diperbuat dari kayu hinggalah kepada barangan batik.

  • Tempat yang perlu dikunjungi untuk meneroka seni dan kraf tradisional Malaysia adalah Kampung Budaya Sarawak di Sarawak ataupun Taman Mini Malaysia dan Mini ASEAN di Melaka. Anda akan dapat menyaksikan tukang-tukang tradisional membuat barangan kraf di samping mencuba melukis batik atau aktiviti seni yang lain.