<

Kota Tampan, Lenggong

Kota Tampan ialah tapak arkeologi terbuka yang mendedahkan bukti kebudayaan Paleolitik pertama negara. Tapak ini berada pada kedudukan 5° 03.31’ utara dan longitud 100° 58.42’ timur, dengan ketinggian 101 meter di atas aras laut.

Ekskavasi terawal pada tahun 1938 disusuli dengan ekskavasi lanjutan pada tahun 1954. Sejak itu, dunia mengetahui wujudnya budaya masyarakat Kota Tampan atau ‘Tampanian’ di Malaysia. Namun, pentarikhan kronometrik dan kesahihan tapak serta artifak hanya diperolehi setelah Universiti Sains Malaysia (USM) menemui tapak baru ini dan menjalankan kajian saintifik mulai tahun 1987. Kajian ini telah mendedahkan fungsi Koata Tampan (KT) sebagai tempat membuat alat batu Paleolitik pada sekitaran tasik kira-kira 74,000 tahun dahulu ( pentarikhan OSL). Kota Tampan menjadi tapak rujukan budaya Paleolitik di Asia tenggara kerana ia mendedahkan Klasifikasi dan teknologi pembuatan alat batu Paleolitik.

Pada masa ini, terdapat pameran in situ di tapak KT 1987, KT 2005 dan di Muzium Arkeoogi Lenggong yang dibina khusus untuk mempamerkan hasil kajian arkeologi di seluruh Lembah Lenggong yang membuktikan kawasan kediaman terawal di Malaysia.

Kajian pertama telah dilakukan oleh Collings (1938) yang menimbulkan banyak isu dan seterusnya oleh Sieveking (1958). Kajian yang dilakukan oleh Zuraina (1989, 2003) di tapak Kota Tampan pada tahun 1987-1989 telah dapat menyelesaikan isu dan masalah yang timbul oleh pengkaji terdahulu. Oleh kerana sumbangan dari kajian tapak ini maka tapak ini telah dijadikan sebagai tapak perbandiangan dan tapak rujukan untuk kebudayaan Paleolitik Negara dan rantau ini.
Papar Peta