<

Masjid Zahir

Salah sebuah mercu tanda berseni bina di Kedah, Masjid Zahir tersergam indah sebagai bangunan contoh dengan seni bina Melayu-Islam.

Dibina dalam tahun 1912, ia merupakan salah sebuah masjid tertua di negara ini. Reka bentuk masjid ini diilhamkan oleh Almarhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin II. Lima buah kubah besar berwarna hitam melambangkan lima prinsip Rukun Islam.

Terletak di pusat bandar Alor Setar, masjid ini menjadi masjid rasmi negeri serta masjid bagi penduduk tempatan. Ia turut menjadi lokasi bagi Pertandingan Tilawah Al-Quran yang diadakan setiap tahun.

Masjid ini turut menjadi tempat persemadian pahlawan-pahlawan negeri Kedah yang gugur sewaktu mempertahankan negeri ini dari dijajah Siam pada tahun 1821.
Papar Peta