<

Merentas Denai Hutan

Pengembara yang berpengalaman dan mereka yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti lasak ini akan mendapati bahawa Malaysia mempunyai banyak lokasi yang sesuai untuk menjalani aktiviti ini melalui denai hutan. Hutan negara yang luas dan kawasan simpanan hidupan liar memberikan peluang kepada pencinta alam semula jadi untuk menikmati persekitaran yang subur di kawasan tropika.

Bagi yang berpengalaman mungkin anda ingin mencabar dan menilai keupayaan sendiri dengan cuba menjejaki Gunung Tahan di Taman Negara, Pahang, manakala pengembara yang santai boleh mengunjungi Institut Penyelidikan Hutan Simpanan Malaysia (FRIM), yang terletak di Kepong, utara Kuala Lumpur.

Antara trek utama yang lain termasuklah yang terdapat di Taman Negara Niah, Taman Negara Mulu, Taman Alam Semulajadi Kuala Selangor, hutan bakau Selangor, hutan gunung Selangor Templers Park, hutan gunung Ulu Bendol Negeri Sembilan, hutan hujan tropika Tanah Pamah Endau Rompin Johor, hutan hujan tropika Gunung Ledang Johor dan Taman Negara Lambir.

Bagi pengunjung yang lebih suka meredah hutan dalam cuaca sejuk, denai hutan yang terdapat di Cameron Highlands dan Bukit Fraser pasti memberikan pengalaman yang unik buat anda.