Sep 18, 2017

KERETAPI SARONG KEMBALI DENGAN #SAYANGMALAYSIA SEMPENA SAMBUTAN HARI MALAYSIA KE-54

Kuala Lumpur, 16 September 2017: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (KPK) menganjurkan Program Keretapi Sarong #SayangMalaysia 2017 peringkat Wilayah Persekutan Kuala Lumpur & Selangor dan menutup tirai Program Bermalam di Muzium 2017 di Muzium Negara Malaysia, di sini, hari ini.

Program Keretapi Sarong yang mula diperkenalkan pada tahun 2012 di Kuala Lumpur dan London adalah merupakan satu program flash mob di mana peserta-peserta yang terdiri daripada kalangan orang awam beramai-ramai menaiki MRT/LRT menerusi laluan-laluan stesen dengan berpakaian sarong Malaysia.

Dianggarkan 1000 orang peserta yang terdiri daripada penggiat industri pelancongan, media, blogger, sukarelawan, para pelajar sekolah dan juga pelancong dalam dan luar negara memakai kain sarong untuk menaiki MRT/LRT. Program ini telah dihebahkan atau tular melalui muatnaik video atau foto ke media sosial. Melalui muatnaik gimik tersebut ianya dapat mempromosikan sarong Malaysia sebagai salah satu elemen kebudayaan unik Malaysia

Keretapi Sarong 2017 bermula dari Subang, Puchong Prima dan stesen LRT Gombak (laluan KJ), Stesen LRT Ampang (laluan Ampang) dan stesen MRT Bandar Utama (laluan SBK) dan berakhir di MRT Muzium Negara Malaysia.

Program ini bertujuan memupuk dan menyemai semangat #sayangMalaysia menerusi promosi penggunaan produk pengangkutan awam terkini Malaysia iaitu MRT serta pemakaian sarong yang juga merupakan salah satu identiti kebudayaan Malaysia.

Kempen #SayangMalaysia telah digunakan untuk hebahan program Keretapi Sarong 2017. Keunikan program tersebut juga membuka peluang dalam membantu usaha-usaha mempromosikan Malaysia melalui hebahan atau viral muatnaik video atau foto ke sosial media. Dalam konteks ini, penggunaan #SayangMalaysia menerusi Keretapi Sarong merupakan langkah baik dalam membantu meningkatkan keberkesanan impak promosi tersebut.

Program ini yang dilaksanakan di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), adalah merupakan usahasama strategik bersama Majalah Gaya Travel serta LOCCO (Local Companion), sebuah badan NGO dan Homestay Banghuris. Seperti mana aspirasi Kerajaan menerusi dasar NBOS, kerjasama strategik seumpama ini turut berperanan selaku pemangkin dalam membantu usaha-usaha mempromosikan Malaysia bagi mencapai sasaran 36 juta kehadiran pelancong ke Negara ini menjelang tahun 2020.

Selain itu, pada hari yang sama merupakan hari terakhir bagi program Bermalam di Muzium 2017. Program ini yang merupakan program tahunan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) mula diperkenalkan pada tahun 2005. Untuk penganjuran pada tahun ini, sebanyak 26 buah muzium telah terlibat dalam penganjurannya dimana ianya telah dijalankan serentak bermula pada 15-16 September 2017. Seramai 2050 pelajar telah menyertai program ini.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia iaitu YB Dato’ Seri Mohamed Nazri Bin Abdul Aziz. Turut hadir pada majlis itu ialah YB Datuk Mas Ermieyati Bin Samsudin iaitu Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Hj. Ab. Ghaffar Bin A. Tambi, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia serta Datuk Kamarul Baharin bin A. Kasim, Ketua Pengarah Muzium Negara Malaysia.

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Ia memberi tumpuan kepada tugas khusus iaitu mempromosi Malaysia sebagai destinasi percutian pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2015, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.7 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancong sebanyak RM69.1 bilion, sekali gus meletakkannya dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Hubungi:

Unit Perhubungan Media:
Edzuar Zar Ayob Azari, Senior Deputy Director, Corporate Communication Division
Tel: +603-8891 8767
Email:
edzuar@tourism.gov.my

Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8759
Emel: anisramli@tourism.gov.my


Download as PDF file